NIBONG TEBAL: ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail mengadakan pertemuan dengan Jabatan Penjara Malaysia membincangkan isu penempatan Parol di rumah kedai Taman Halaman Indah 2, Sungai Jawi, di sini susulan aduan penduduk setempat, kelmarin.
Pertemuan itu dihadiri Timbalan Pengarah Penjara Pulau Pinang, Darmizam Desa dan Ketua Inspektor Penjara, Asrizal Ahma serta Ketua Inspektor Penjara, Nur Ilmi Othman dan beberapa pegawai yang lain.
Menurut Abidin, pihak Jabatan Penjara Malaysia memberi jaminan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan komuniti setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Insya-Allah, pihak Jabatan Penjara akan mengadakan pertemuan susulan dengan penduduk bagi menangani kebimbangan mereka mengenai penempatan parol ini.
“Saya telah berbincang mengenai tujuan penempatan tersebut. Untuk makluman, parol ini terdiri daripada banduan yang bukan melakukan kesalahan berat, berkelakuan baik, dan dalam tempoh pembebasan.
“Pihak penjara juga akan berkolaborasi dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menempatkan mereka bekerja di sekitar kawasan ini, selain memastikan bangunan tersebut dilengkapi pagar keselamatan dan pengawal,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Bagaimanapun, Abidin menegaskan bahawa pihaknya meminta Jabatan Penjara mengadakan sesi dialog bersama komuniti setempat kerana terdapat bantahan terhadap penempatan parol di kawasan itu.
Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia telah mengedarkan jemputan rasmi kepada pihak berkepentingan bagi sesi perbincangan mengenai program pemulihan dalam komuniti yang dijadualkan pada 4 Februari di Dewan Seri Mutiara, Kompleks Penjara Seberang Perai.
Sesi tersebut bertujuan menjelaskan matlamat Jabatan Penjara Malaysia dalam mencapai sasaran dua pertiga peratus pemulihan banduan dalam komuniti menjelang 2030. – HARAKAHDAILY 21/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!