KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diminta menjelaskan mengenai cadangan bagi mempertingkatkan lagi syarat permohonan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, langkah tersebut bakal memberi kemudahan kepada rakyat khususnya individu kurang berkemampuan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan sebagainya.
“Minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan adakah pihak kementerian bercadang untuk menambah baik syarat permohonan bagi projek PPRS supaya memberi manfaat golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Rubiah Wang menjelaskan, PPRS dijenamakan semula dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah diluluskan melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2024.
Selain itu kata beliau, ia turut meliputi kenaikan kadar bantuan daripada RM66,000 kepada RM79,000 bagi PPRS bina baru di Semenanjung dan RM79,000 kepada RM85,000 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kriteria kelayakan PPRS masih dikekalkan kepada dua isi rumah miskin dan miskin tegar dengan memberi keutamaan kepada warga emas, OKU, ibu tunggal dan bapa tunggal ada tanggungan ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!