KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menggesa tindakan segera diambil terhadap individu berpakaian songsang yang tular di media sosial baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Syakir Norazli menekankan bahawa isu itu perlu ditangani secara tegas oleh pihak berwajib, termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurutnya, perbuatan individu lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam acara hiburan arus perdana adalah tindakan bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya masyarakat Melayu di Malaysia.
“Sungguh hina dan terkutuk perbuatan ini yang cuba menormalisasikan budaya songsang dan tidak bermoral.
“Sebagai seorang yang beragama Islam, amalan seperti ini sangat bertentangan dengan ajaran agama juga tidak selari dengan budaya orang Melayu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Syakir turut merujuk kepada peruntukan pada Seksyen 28 Bahagian 4 dalam Enakmen Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997.
Peruntukan itu jelasnya, menetapkan bahawa mana-mana lelaki yang berpakaian dan berlagak seperti wanita di tempat awam atas tujuan tidak bermoral boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Geng Ustaz menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku terbabit.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memastikan pelanggaran enakmen itu tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Kerajaan dan Menteri Agama perlu lebih serius menangani budaya songsang dan tercela ini.
“Tindakan proaktif dan hukuman sepatutnya harus dibuat dengan segera bagi mengelakkan perkara ini berulang jika benar kerajaan ini menjunjung institusi agama dan syariah di negara.
“Jika tidak, Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim hanya akan dilihat berkompromi dengan golongan dan dakyah LGBT,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!