ANUGERAH Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang disiarkan secara langsung di TV3 pada 16 Februari lalu telah pun menutup tirainya di mana lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara manakala naib juara menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini dan tempat ketiga menjadi milik lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret.
Namun demikian kemeriahan AJL39 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dipancarkan melalui TV3 secara langsung telah dicemari dengan gelagat beberapa ‘influencer’ lelaki yang berpakaian seperti wanita ketika sesi karpet merah. Mereka ini diberikan pula publisiti dan gelagat mereka ini ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia.
Ada yang ber’berposing’ depan kamera mengalahkan artis gelagat meraka dan perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana dari segi perlembagaan dengan merujuk perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi Malaysia yang mana perbuatan ‘memondan’ di kalangan lelaki adalah sangat-sangat ditegah oleh Islam.
AJL mendapat tontonan yang ramai yang mana AJL 38 yang lalu mendapat 6.4 juta tontonan TV. Cuba bayangkan berapa juta yang menonton AJL 39 kelmarin dan berapa orang kanak-kanak dan remaja yang menonton program tersebut?
Hendak berfesyen tidak salah, tetapi sebagai pempengaruh anda sepatutnya membawa pengaruh yang baik kepada penonton dan peminat anda lebih-lebih lagi jika anda adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Apabila perkara ini menjadi tontonan dan di’normalisasi’kan di media sosial dan media arus perdana ianya memberikan pengaruh yang buruk di kalangan kanak-kanak dan remaja kita.
Perbuatan pempengaruh ini telah mencemarkan kemeriahan AJL39 yang mana sejak 16 Februari hingga ke hari ini di media-media sosial ramai netizen yang meminta Menteri Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan ke atas individu-individu terbabit yang pada pandangan saya ‘perosak majlis’ dan ‘pencemar kesucian agama Islam’. Sewajarnya mereka ini tidak digelar influencer kerana pengaruh buruk yang mereka bawa.
Di bawah peruntukan seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Sewajarnya tindakan diambil terhadap mereka ini kerana sememangnya mereka tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Perbuatan seks songsang makin menggusarkan di kalangan remaja kita.
Statistik Kementerian Kesihatan Sektor HIV/Penyakit Jangkitan Kelamin (STI), Bahagian Kawalan Penyakit pada 2017 menunjukkan 1,697 individu yang mengamalkan seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah penghidap HIV yang baru.
Bila bermula aktiviti ini? Aktiviti jijik ini kebanyakannya bermula di sekolah berasrama di mana ada pelajar-pelajar meliwat dan diliwat mengakibatkan berlaku ketagihan seks sejenis dan akhirnya mereka ini bertukar menjadi gay atau pengamal biseksual. Ada juga yang mula mengamalkan seks songsang ini kerana melayan naluri songsang yang menyukai lelaki, pengaruh rakan-rakan dan kurang menghayati agama.
Media-media sosial yang mempromosikan seks songsang ini secara terbuka menyebabkan ada remaja yang mempunyai pemahaman terbuka kepada budaya songsang dan jijik ini. Kementerian Kesihatan Malaysia juga melaporkan golongan gay ini direkodkan meningkat hampir 100 peratus dan meramalkan hubungan seks lelaki dengan lelaki atau homoseksualiti akan terus meningkat sebagai kumpulan tutam dalam kes positif HIV menjelang tahun 2030 iaitu lima tahun dari sekarang.
Ganggguan Identiti Jantina (GID) boleh dirawat.
GID atau ‘Gender Indentity Disorder’ atau dalam Bahasa Melayunya Gangguan Identiti Jantina adalah di mana apabila seseorang lelaki itu dikatakan merasakan dia adalah seorang wanita yang terperangkap di dalam badan seorang lelaki dan atau seorang wanita merasakan dia seorang lelaki yang terperangkap dalam tubuh badan wanita.
Ini boleh terjadi sejak dari kecil di mana seorang kanak-kanak lelaki itu cenderung bermain mainan kanak-kanak perempuan atau kanak-kanak perempuan bermain dengan permainan kanak-kanak lelaki. Ditambah pula jika emak ayah yang menyokong dan menganggap ianya comel atau ‘cute’. Akhirnya akan terbawa-bawa hingga ke alam dewasa.
GID boleh dirawat di mana dikatakan lebih 3,000 individu terdiri daripada maknyah, lesbian, gay dan biseksual berjaya dibimbing ke pangkal jalan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Saya percaya dan yakin penyakit psikologi seperti GID ini boleh dirawat dan mereka boleh dibawa ke pangkal jalan tetapi mestilah dengan cara yang betul dan Islamik. Kalau cara Barat, lebih-lebih lagi di negara yang mengiktiraf LGBT kemungkinan untuk terpesong lebih jauh dan menjadi LGBT yang tegar adalah cerah.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Malaysia pada April 1982 memutuskan bahawa seseorang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan hukumnya tetap perempuan walaupun lelaki atau perempuan itu berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan.
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam AS), Dia (Allah) menciptakan daripadanya pasangannya (Hawa), Dia (Allah) mengembangbiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturahim ( kaum kerabat). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengawasi (memerhati) kamu” (Surah al- Nisa’ ayat 1)
Jelas sekali penyatuan manusia di dalam rumahtangga yang suci itu melibatkan lelaki dan perempuan, male and female, bukan lelaki dengan lelaki, bukan perempuan dengan perempuan, bukan lelaki dengan lelaki dan dalam masa yang sama dibolehkan pula berhubungan dengan perempuan. Ini jauh menyimpang dari matlamat asal manusia diciptakan.
Perbuatan LGBT adalah perbuatan kuno, jijik, tidak bertamadun
Manusia sekarang mula kembali ke zaman Nabi Luth AS dan menganggap ianya perbuatan manusia-manusia moden yang perlu diiktiraf. Perbuatan terkutuk ini berlaku beribu-ribu tahun dahulu dan jika mereka memberitahu anda bahawa kita akan ‘mundur’ kerana menolak perbuatan ini maka katakan pada mereka perbuatan ini perbuatan kuno yang sepatutnya tidak dilakukan lagi. Amalan seks bebas dan seks songsang adalah perosak institusi keluarga.
Apakah yang dimaksudkan dengan LGBT?
LGBT didefinisikan seperti berikut:
L ialah Lesbian – hubungan seksual perempuan dengan perempuan.
G ialah Gay – hubungan seksual lelaki dengan lelaki.
B ialah Biseksual – di mana seorang lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan lelaki dan juga boleh melakukan hubungan seks dengan perempuan begitu juga perempuan yang melakukan seks dengan perempuan dalam masa yang sama melakukan juga seks dengan lelaki. Bukankah perkara ini jijik dan merosakkan institusi kekeluargaan?
T ialah transgender – di mana lelaki melakukan pembedahan jantina menjadi wanita dan wanita melakukan pembedahan jantina menjadi lelaki. Ini juga boleh merosakkan masyarakat kerana identiti mereka telah berubah dan mengelirukan orang ramai. Janganlah nanti ada kejadian tersalah kahwin pula.
Kemudian mereka menambah pula di belakang T tadi dengan Q, di mana Q bermaksud ‘Queer/Questioning’ iaitu istilah payung bagi orang yang bukan heteroseksual atau yang mahu lari dari jantina yang diberikan kepada mereka semasa lahir. Seseorang juga mungkin mengenal pasti diri mereka sebagai ‘Queer/Questioning’ jika mereka merasakan bahawa istilah lesbian, gay, biseksual atau trans tidak sepenuhnya mewakili mereka.
Bukannya susah sangat hendak mengetahui sama ada kita seorang lelaki atau perempuan – lihat sahaja apa yang ada di ‘dalam’ seluar atau kain yang kita pakai. Mereka sentiasa mencipta norma baru yang jijik untuk diterima oleh semua penduduk dunia. Kita semua perlu menghalang budaya ini normalisasikan.
Seks bebas dan songsang merosakkan masyarakat dan institusi keluarga.
Gagal mengawal nafsu akan melahirkan anak-anak tidak sah taraf. Hubungan seks songsang (LGBT) serta pelacuran mewujudkan penyakit-penyakit kelamin seperti gonorrhea, sifilis dan juga AIDS. Apa yang bahaya ialah AIDS boleh berjangkit melalui pemindahan darah. Jika kita terbabit dalam kemalangan dan menerima darah dari penghidap AIDS kita secara tidak bersalahnya boleh menghidap AIDS.
Dilaporkan bahawa sebanyak 90 peratus daripada jumlah jangkitan HIV/AIDS dari tahun 2009 hingga 2018 adalah akibat kegiatan seks tidak selamat dan dari jumlah itu hanya 10 peratus sahaja jangkitan HIV/AIDS adalah dari suntikan perkongsian jarum suntikan penagihan dadah. Ini bermakna hubungan seks terlarang adalah penyumbang besar penyakit HIV-AIDS.
Semasa saya bertugas sebagai Peguam Syarie dahulu saya ada mengendalikan kes yang melibatkan suami seorang ‘gay’. Mereka ini berkahwin hanyalah untuk menutup orientasi seksual jijik mereka. Malangnya ada yang suka meliwat isteri yang menyebabkan isteri menfailkan pembubaran perkahwinan kerana Dharar Syari’e. Permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah. Ada juga kes yang menunjukkan suami melanggan pondan melalui aplikasi ‘whatsapp’ dan sebagainya. Jelas perbuatan ini boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kita.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Riwayat Ahmad, no. 2913).
Oleh yang demikian saya sangat berharap agar perbuatan keji lelaki berpakaian seperti wanita di majlis-majlis keramaian atau dilakukan secara terbuka dihentikan segera kerana membawa pengaruh yang sangat buruk kepada masyarakat. Kita tidak menyatakan mereka melakukan hubungan terkutuk itu tetapi berketerampilan sebegitu secara terbuka seperti membudayakan LGBT di bumi bertuah ini.
MOHAMMAD SHAHRAY ZULKIFLI
Bekas Peguam Syarie yang pernah bertugas di Negara Brunei Darussalam selama 24 tahun – HARAKAHDAILY 18/2/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!