KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menggesa kerajaan untuk memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) turut menjadi agenda utama bagi kementerian lain.
Beliau berkata, ia selaras dengan keperluan rakyat yang masih berdepan pelbagai isu yang belum ditangani secara menyeluruh.
“Terdapat isu-isu rakyat yang kritikal masih belum diselesaikan seperti isu kehilangan beras tempatan, isu kos sara hidup yang tidak ada keseimbangan, infrastruktur yang masih belum selesai terutama di negeri pantai timur dan ketiadaan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
“Bagaimana kerajaan boleh mendakwa kerajaan dalam pertumbuhan ekonomi sedangkan gaji medium rakyat masih tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup?
“Adakah kerajaan mengakui bahawa dasar gaji minimum dan subsidi sedia ada masih gagal memastikan rakyat
mampu hidup dengan selesa,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Namun, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata beliau akan menjawab secara bertulis.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang minta Menteri Ekonomi menyatakan secara terperinci, sejauh mana pencapaian Malaysia dalam setiap satu dari 17 aspek SDG kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UN SDG) serta cabaran yang menyekat usaha negara untuk merealisasikan semua matlamat ini. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!