URA: ‘Cukuplah zalimi rakyat, khianati rakyat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) merupakan satu bentuk penindasan yang bakal menyaksikan pemilik tanah dan rumah tradisional di bandar kehilangan hak mereka, terutama golongan berpendapatan rendah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib, turut membantah cadangan pelaksanaan akta itu kerana ia membuka ruang kepada pemaju dan golongan kapitalis menguasai kawasan bandar dengan menyingkirkan masyarakat kurang berkemampuan.

“Mereka ada tanah di bandar, ada rumah sendiri. Tetapi apabila akta ini diluluskan nanti, tanah-tanah ini akan diambil untuk dibangunkan dengan bangunan yang besar, tinggi dan mahal yang tidak mampu dibeli oleh orang miskin dan orang yang susah,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. (Foto atas)

Beliau turut memberi contoh Melaka yang mempunyai banyak rumah tradisional di kawasan bandar.

Tambah beliau, sekiranya akta itu dilaksanakan, tidak mustahil kawasan-kawasan ini akan diambil alih untuk pembangunan moden, sekali gus menghapuskan budaya dan warisan tradisional negara.

“Kenapa tidak kerajaan beri bantuan kepada mereka dan indahkan rumah itu supaya nampak kepelbagaian budaya ada di negara kita dan tidak menjejaskan hak milik harta rumah mereka,” katanya.

Beliau turut mendesak agar kerajaan menarik balik cadangan akta itu dan menjalankan kajian terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat kerana hak milik tanah rakyat tidak boleh digadai atas nama pembangunan.

“Cukuplah menzalimi rakyat, cukuplah mengkhianati rakyat. Jadi ini yang perlu kita pertahankan hak rakyat dan membantah akta ini habis-habisan.

“Bercakap hal maha kaya tetapi kerajaan seolah membina kekayaan yang berterusan kepada yang kaya. Jangan berikan kekayaan berterusan kepada mereka yang kaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!