Caj penghantaran tinggi, pengguna tanggung beban

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Caj penghantaran yang dikenakan syarikat kurier kini hampir menyamai harga barangan yang dibeli dalam talian, dengan alasan kenaikan kos operasi seperti penarikan subsidi diesel dan peningkatan tarif elektrik.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, beban yang ditanggung pengguna serta kesan terhadap pemandu p-hailing yang terpaksa bersaing dalam keadaan tidak terkawal.

“Apakah langkah kementerian untuk melindungi pengguna walaupun saya faham kita serahkan kepada pasaran bebas untuk menentukan persaingan pada masa yang sama, kalau ada persaingan itu yang boleh memudaratkan penghantar p-hailing.

“Kita lihat syarikat kurier ini terlampau mengejar margin yang kecil akhirnya ramai anak-anak muda yang bawa motosikal kemalangan dan sebagainya kerana terpaksa bersaing secara agresif dengan kurier lain. Jadi apa cadangan kementerian?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kenaikan harga minimum penghantaran kurier kepada RM5 berbanding RM4 sebelum ini adalah berdasarkan kajian semula oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Tanggungjawab MCMC adalah memastikan kadar harga yang ditetapkan oleh semua pemegang lesen tidak rendah daripada kos sebenar. Ini adalah sangat penting untuk memastikan bahawa tidak ada persaingan yang tidak sihat,” katanya.

Dalam soalan asal, Wan Ahmad Fayhsal meminta Menteri Komunikasi untuk justifikasi kenaikan harga minimum penghantaran barang kurier melalui Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier sedangkan jumlah penjualan dalam talian semakin meningkat saban tahun; dan adakah Kementerian dapat memastikan harga perkhidmatan kurier ini tidak akan dinaikkan lagi bagi mengelak beban kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 19/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!