KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak berhasrat untuk menyekat lagu ‘Bea Soba Bea’ atau judul asalnya Cinta Setandan Pisang kerana dilihat tiada keperluan untuk mengharamkan dan menyekat lagu tersebut.
Pada masa yang sama, lagu berkenaan boleh dimainkan atau didendangkan oleh sesiapa sahaja pada majlis-majlis tertentu, selain penyanyi asal Din Manjo di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah menyatakan perkara itu malam tadi ketika diminta mengulas berhubung perkara berkenaan.
Malah beliau berkata, sebenarnya ia berlaku salah faham kerana lagu ciptaan komposer terkenal, Eddie Hamid yang dinyanyikan oleh Eda Ezrin dan Den Manjo itu tidak pernah diharamkan di negeri ini.
Hilmi berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas dakwaan yang mengatakan lagu tersebut diharamkan di Kelantan kerana dikaitkan dengan kes dihadapi oleh penyanyinya, Eda Ezrin.
Penyanyi yang nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat rakan ditangkap berkait kes dadah di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Dalam Kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), di sebuah hotel, di sini malam tadi.
“Pengharaman atau sekatan ke atas sesebuah lagu sebenarnya bergantung kepada lirik lagu berkenaan sebagai contoh berunsul lucah.
“Perkara itu juga bukan diputuskan oleh kerajaan negeri sebaliknya daripada pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK),” katanya lagi.
Beliau memberitahu, lagu berkenaan masih boleh dinyanyikan oleh sesiapa sahaja atau dimainkan oleh mana-mana pihak di negeri ini. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!