KOTA BHARU: Wanita yang bekerja hingga lewat malam diingatkan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim turut mengingatkan golongan hawa untuk sentiasa memaklumkan lokasi dan pergerakan kepada keluarga atau rakan terdekat.
Katanya, peniaga khususnya kalangan wanita perlu menggunakan pengangkutan yang selamat, serta mengelakkan kawasan sunyi atau individu mencurigakan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Apa yang penting mereka juga digesa untuk tidak memakai perhiasan berlebihan atau membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian menimpa seorang peniaga yang mati dipercayai dibunuh selepas keluar untuk penghantaran berbayar (COD) makanan empat hari lepas.
ADUN Tanjung Mas itu juga turut menyeru majikan menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi pekerja wanita.
“Kepekaan dan kepedulian masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan wanita, yang bukan sahaja tonggak keluarga tetapi turut menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
“Dengan kesedaran dan langkah yang diambil bersama, masyarakat yang lebih selamat dan sejahtera dapat dibentuk,” katanya.
Beliau menambah, apabila Islam tidak difahami serta dihayati sebaiknya, pelaku akan membelakangkan hukum Allah sewenang-wenangnya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!