KUALA LUMPUR: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadual akan dibentang buat kali pertama di Parlimen minggu hadapan.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, akta yang dikemukakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming itu merupakan satu agenda yang dilihat akan mengetepikan orang Melayu di kawasan bandar.
“Orang Melayu yang pendapatannya rendah dan miskin bandar, tempat mereka akan diambil menggunakan akta ini dan dibangunkan. Selepas daripada itu, mereka sudah pasti tidak mampu lagi berada di tempat ini kerana harga yang dijual akan melebihi RM500,000.
“Ini satu cara yang kita lihat untuk menghalau penduduk asal ke kawasan-kawasan yang lebih terpencil. Kita melihat dalam jangka masa panjang, akta ini tidak ‘favour’ kepada khususnya orang Melayu yang berada di bandar,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali; Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman; Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.
Justeru, tambah beliau, satu himpunan akan diadakan esok bermula jam 9:30 pagi di Tugu Negara menuju ke bangunan Parlimen bagi penyerahan memorandum membantah cadangan akta tersebut.
“Kita mengajak semua NGO Melayu-Islam dan semua rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai untuk kita serahkan memorandum kepada ahli-ahli parlimen supaya mereka dapat bercakap berdasarkan resolusi yang akan kita serahkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!