Pemuda PAN dah bagai pungguk rindukan bulan

- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS Pahang menolak pelawaan debat daripada Pemuda PAN dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak memberi manfaat dan membawa sebarang kepentingan kepada rakyat dan politik negara. 

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pihaknya lebih mengutamakan wacana yang bersifat konstruktif dengan pihak lebih berwibawa serta berfokus kepada pembangunan ummah, negara dan negeri. 

“Kami tidak melihat sebarang keperluan atau manfaat untuk berdebat dengan Pemuda PAN baik di peringkat Pusat mahupun di peringkat Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, kredibiliti dan prinsip perjuangan Pemuda PAN sering berubah mengikut kepentingan politik semasa, khususnya dalam menjaga hubungan dengan sekutu politik mereka, termasuk DAP. 

“Berbanding dengan PAS yang konsisten dalam memperjuangkan dasar Islam, PAN sering dilihat tunduk kepada tekanan sekutu politik mereka,” katanya. 

Tambah beliau, kedudukan dan pengaruh politik Pemuda PAN juga tidak cukup kuat memandangkan parti itu mengalami kemerosotan sokongan sejak beberapa pilihan raya lalu.

“Oleh itu, memberikan platform perdebatan kepada mereka tidak akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat atau politik negara,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS berpendapat bahawa perdebatan hanya wajar diadakan antara pihak yang mempunyai asas ideologi kukuh.

“Ketidakseimbangan dari segi ideologi Pemuda PAS berpegang kepada dasar Islam yang jelas dan konsisten, manakala Pemuda PAN cenderung kepada pendekatan liberal yang tidak mencerminkan kepentingan umat Islam secara keseluruhan.

“Perdebatan yang diadakan haruslah antara pihak yang mempunyai asas ideologi yang kuat dan jelas, bukan yang berubah-ubah mengikut situasi dan lebih menjaga periuk nasi sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan keupayaan Pemuda PAN dalam berdebat secara ilmiah, yang mana kebanyakan hujah dikemukakan sebelum ini lebih bersifat retorik politik berbanding penyelesaian konkrit. 

“Trek rekod dalam debat dan wacana Pemuda PAN sebelum ini telah menunjukkan ketidakmampuan dalam berdebat dengan baik secara ilmiah dan fakta yang kukuh.

“Banyak kenyataan yang dikeluarkan lebih kepada retorik politik tanpa hujah yang benar-benar memberi impak kepada masyarakat dan lebih kepada persepsi daripada solusi.

“Kepentingan rakyat dan masa depan perdebatan politik seharusnya memberi manfaat kepada rakyat dengan membincangkan isu-isu dasar yang penting.

“Perdebatan dengan Pemuda PAN tidak akan membawa kepada perbincangan yang produktif kerana kecenderungan mereka untuk menyerang secara emosi dan bukannya membentangkan solusi yang konkrit,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!