“AMALAN federalisme yang tempang!” tukas Tuan Guru Presiden menyorot layanan kerajaan PMX kepada negeri Terengganu. “Segalanya berbeza, royalti untuk Terengganu dan Kelantan disekat hak royalti tapi tidak kepada Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli Parlimen pembangkang disekat wang peruntukan untuk membantu rakyat, Demokrasi hanya untuk bukan Islam tetapi tidak kepada orang Islam. Jentera kita mesti bekerja keras bagi memastikan sokongan rakyat, Insya-Allah rakyat masih ada hati budi untuk menilai,” ujar Ayah Chik dengan penuh bersemangat kepada pimpinan PAS Terengganu pada sore yang masih membahang hangat di saat peralihan musim tengkujuh.
Ayah Chik dengan guratan wajah serius memandang kami, “Perkemaskan jentera, bersyukur dengan nikmat kemenangan, ianya adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan,” tegas Murabbi yang puluhan tahun telah mewakafkan dirinya dalam perjuangan. Ayah Chik berpuasa sunat, di bulan Syaaban beliau banyak mengosongkan perutnya. Walaupun berpuasa tiada istilah untuk berehat atau membazir waktu. Kualiti semahal tempayan emas inilah yang menyebabkan ahli-ahli PAS tetap mahukan sosok anak tarbiah Ikhwanul Muslimin ini kekal menakhodai PAS. Di luar PAS, sibuk musuh menoreh naratif bahawa PAS perlu diperkasa dengan merehatkan Presiden PAS. Ironinya saat PAS mempunyai paling ramai anggota legislatif di Parlimen serta DUN, memang saranan tolol dan dangkal walaupun ‘penganalis politik’ ini bertatah gelaran ahli akademik kanan.
Terengganu mutakhir ini kuat diserang pemimpin BN-PH; portal-portal, cytro upahan serta avatar politik mereka khabarnya bergaji besar bagi memaparkan naratif kecantikan kerajaan Madani.
PAS serta PN didukung secara organik di alam siber, apatah lagi dengan kepayahan hidup di zaman PMX ini yang serba serbi gagal. Terengganu yang memasuki penggal kedua pemerintahan dengan pemerkasaan fikrah rakyat, pemantapan kefahaman Islam secara gelombang massa seperti ceramah, kuliah, forum perdana dan himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.
Negeri jantung hati Muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga Pilihan Raya Umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959,1999 dan 2018, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.
Sebelum Ogos 2022, pendukung PAS Terengganu tidak mahu mitos Terengganu adalah kerajaan sepenggal dan sumpahan ini akan kekal jika mereka gagal. Dedikasi dan kerja keras dilipat kali gandakan untuk memenggal mitos ini. Penghujungnya, Terengganu menyapu bersih seluruh kerusi Parlimen dan DUN.
Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi.
Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama.
Dengan latar belakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr. Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli dan Khadijah Sidek dan mereka telah memenangi kerusi Parlimen. Pengkaji sejarah politik meletakkan asas kemenangan calon PAS dalam pilihanraya 1959 ialah isu-isu nasional melibatkan isu Melayu Islam pasca kemerdekaan. Kondisi ini seperti berulang dalam PRU16 dengan limpahan isu Melayu Islam yang menikam nurani orang Melayu terkini.
Pelbagai isu nasional hari ini tidak memihak kepada PH-BN; arogansi parti terbesar dalam koalisi mereka, DAP sangat ketara. Usaha campur tangan dalam urusan agama Islam seperti lagak MP Raub daripada DAP antara contoh, apatah lagi kemaksiatan, kemungkaran berleluasa di zaman kerajaan ini. Usaha kerajaan ini untuk melaksanakan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA), disorot serius oleh orang Melayu sebagai usaha mengubah demografi politik di kawasan bandar terutamanya kota raya Kuala Lumpur.
Dengan sebanyak 40 kerusi, suara DAP sangat signifikan sehingga kebergantungan Anwar kepada parti anak butir PAP itu sangat tinggi. DAP memanfatkan seluruh ruang untuk mendapat laba politik seperti peruntukan kepada kampung-kampung baru yang ditubuhkan zaman ancaman komunis di Malaya. Sekolah persendirian Cina juga mendapat bantuan jutaan ringgit, sambil ketimbang sekolah-sekolah agama rakyat.
Pemimpin cauvinis juga gigih memperjuangkan keberdayaan sijil UEC dan tendensi kerakusan inilah menjarakkan orang Melayu daripada kerajaan Madani.
Dasar pemencilan Anwar kepada negeri jantung hati orang Melayu menjadikan imejnya merudum teruk. Pulau Pinang sebagai jantung hati DAP dilayani sebagai anak emas dengan curahan billion ringgit setiap tahun. Lihat sahaja komen netizen di medsos apabila muncul kelibat Menteri PH-BN. Kebencian secara organik menjalar di seluruh segmen masyarakat, apatah lagi orang Terengganu yang menebal dengan semangat Melayu Islam.
Usaha gigih kerajaan Pusat menubuhkan JPKKP tak mampu menjinakkan hati penyokong PN terutamanya, kerana kekuatan PAS mengakar umbi di sektor kebajikan, dakwah, pelayanan masyarakat dalam konteks ‘KBSM’ (kahwin, bersalin, sakit, mati).
Isu paling dekat dengan rakyat, bread and butter juga memicu kebencian rakyat terhadap kerajaan Madani. Seluruh kos kehidupan naik mencanak; barangan asas juga tidak mampu dikawal harga, malah beras tempatan yang hilang dari pasaran! Kenaikan ta’rif letrik antara boomerang yang akan membaham tengkok kerajaan PH-BN.
Kerakusan rejim ini dalam menutup mulut rakyat tetap menjadi igauan terburuk dalam sejarah negara ini. Kroni kapitalism dibajai rapi dengan aparatus kerajaan digunakan sewenangnya untuk melindungi kebobrokan dan kebejatan penguasa. Jika tiada yang indah daripada bungkusan ‘reformasi’ selama lebih dua tahun pemerintahan Anwar ini, agaknya adakah warga Terengganu ingin menukar PAS kepada PH-BN? “Tokrok cettong,” kata orang kampung di Terengganu yang semuanya mudah mengakses maklumat di hujung jari.
Walau bagaimanapun, petugas-petugas PAS-PN di negeri Tokku Paloh ini tidak boleh terlalu selesa dengan sejarah 40-0. Terus bersiagalah memimpin kemenangan untuk PRU16!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!