MENGAPA pendukung kesesatan berpegang teguh pada idea mereka?
Pendukung kesesatan seringkali melanggar aturan Allah atas alasan mahu ‘membebaskan diri’ daripada syariat-Nya. Mereka mahu hidup tanpa batasan dan menganggap aturan Islam sebagai belenggu yang menghalang kebebasan. Akibatnya, setiap maksiat yang mereka lakukan kelihatan menyeronokkan, walaupun hakikatnya ia hanya sementara.
Contohnya, masyarakat hari ini begitu memuja artis-artis kafir yang terang-terangan membawa budaya songsang. Mereka dijadikan idola, sedangkan hakikatnya mereka hanya memperjuangkan hawa nafsu dan gaya hidup hedonistik yang bertentangan dengan Islam.
Perancangan syaitan 1: Menyembah selain Allah
Sejak dahulu, syaitan telah menyesatkan manusia dengan membawa tiga bentuk penyembahan selain Allah. Perkara ini berterusan hingga ke hari ini dalam pelbagai bentuk yang lebih moden dan terselindung.
1) Menyembah manusia, sama ada yang masih hidup atau telah mati.
Kaum terdahulu seperti Namrud, Firaun dan kaum Nabi Nuh AS telah menuhankan manusia. Hari ini, perkara yang sama berlaku apabila tokoh-tokoh tertentu dipuja hingga ke tahap disembah.
Contohnya, Nabi Ibrahim AS akhirnya diangkat sebagai Brahma oleh penganut Hindu, manakala Buddha pula diangkat sebagai Tuhan. Nabi Isa AS yang diangkat oleh Allah SWT, dijadikan Jesus oleh orang Kristian. Malah, di Malaysia sendiri pernah muncul ajaran sesat yang mendakwa Nabi Muhammad ﷺ tiada kemaluan, seolah-olah mencapai ‘tahap ketuhanan’.
Lebih membimbangkan, pemujaan manusia terus berlaku dalam bentuk moden apabila pemimpin politik, selebriti dan tokoh terkenal seperti Mahatma Gandhi, Diego Maradona dan Donald Trump dipuja seperti dewa.
2) Menyembah objek di muka bumi.
Sejarah mencatatkan bagaimana manusia menyembah binatang seperti lembu (Hindu & Bani Israel), sungai seperti Sungai Nil oleh penduduk Mesir, dan batu-batu tertentu. Di Nusantara pula, budaya pemujaan terhadap laut, batu hikmat, dan ayam hitam masih wujud dalam bentuk amalan khurafat.
3) Menyembah objek langit seperti bintang dan matahari.
Dalam al-Quran, Allah menceritakan bagaimana kaum Jahiliyyah menyembah bintang:
{ وَأَنَّهُۥ هُوَ رَبُّ ٱلشِّعۡرَىٰ }
“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah Tuhan (Pencipta) Bintang Syikra.” (Surah An-Najm: 49)
Nabi Ibrahim AS sendiri mengkritik penyembahan bintang oleh kaumnya:
{ فَلَمَّا جَنَّ عَلَیۡهِ ٱلَّیۡلُ رَءَا كَوۡكَبࣰاۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّیۖ فَلَمَّاۤ أَفَلَ قَالَ لَاۤ أُحِبُّ ٱلۡـَٔافِلِینَ }
“Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: ‘Inikah Tuhanku?’ Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: ‘Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang’.” (Surah Al-Anʿām: 76)
Sehingga ke hari ini, penyembahan bintang masih berlaku dalam bentuk perayaan. Contohnya, golongan Kristian mengangkat tarikh 25 Disember sebagai hari kelahiran Jesus, padahal ia berasal daripada perayaan menyambut dewa matahari. Ponggal pula merupakan perayaan yang berkaitan dengan kesuburan tanaman akibat pengaruh matahari. Ilmu astrologi dan tilik nasib berasaskan bintang juga adalah sebahagian daripada bentuk penyembahan moden.
Perancangan syaitan 2: Menolak aturan Allah
Syaitan bukan sekadar mahu manusia menyembah selain Allah, tetapi juga mahu mereka percaya bahawa sistem manusia lebih baik daripada hukum Allah SWT.
Akibatnya, manusia menolak syariat Islam dan menggantikannya dengan sistem liberal yang tidak mengenal halal dan haram. Contoh yang jelas adalah LGBT, yang kini bukan sekadar diamalkan tetapi dipaksakan ke atas masyarakat melalui undang-undang dan pendidikan.
Allah SWT telah menetapkan empat aturan utama untuk kehidupan manusia:
1. Aturan untuk individu (Fardu ‘Ain).
Contohnya, hukum bersuci, cara solat, mandi wajib, dan istinjak.
2. Aturan untuk keluarga.
Contohnya, tanggungjawab bapa dalam menjaga aurat ahli keluarga dan batas pergaulan antara adik-beradik serta ipar.
3. Aturan untuk masyarakat.
Contohnya, kewajipan amar makruf nahi mungkar, hak kejiranan, dan solat berjemaah di masjid.
4. Aturan untuk negara.
Contohnya, siapa yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman terhadap pencuri? Ia memerlukan hakim dan sistem pelaksanaan yang tersusun.
Namun, syaitan menggoda manusia agar melanggar keempat-empat aturan ini, menyebabkan perundangan Islam dipinggirkan. Sebaliknya, manusia mengikut aturan iblis yang tidak berlandaskan wahyu.
Sumber ilmu dan ideologi: Siapa sebenarnya lebih bijak?
Dalam Islam, ilmu datang daripada dua sumber utama:
1) Wahyu – Al-Quran & Sunnah
2) Akal – yang berfungsi dalam lingkungan wahyu
Ilmu asalnya daripada Allah SWT, kemudian berkembang menjadi pelbagai cabang ilmu. Allah SWT mengajarkan segala nama dan pengetahuan kepada Nabi Adam AS sebagaimana firman-Nya:
{ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَاۤءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِی بِأَسۡمَاۤءِ هَـٰۤؤُلَاۤءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ }
“Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu berfirman: ‘Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar’.” (Surah Al-Baqarah: 31)
Selepas itu, Allah SWT memberikan ilham kepada Nabi Idris AS untuk menggunakan kulit binatang sebagai pakaian, membina khemah, menulis, dan meleburkan besi untuk menghasilkan senjata. Nabi Nuh AS pula diajar membina kapal tanpa menggunakan binatang sebagai tenaga penggerak. Firman Allah SWT:
{ وَٱصۡنَعِ ٱلۡفُلۡكَ بِأَعۡیُنِنَا وَوَحۡیِنَا }
“Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya).” (Surah Hūd: 37)
Daripada keperluan membina kapal, seterusnya berkembanglah ilmu matematik, ilmu buruj (astronomi), serta kaedah menentukan arah perjalanan menggunakan bintang:
{ وَٱلسَّمَاۤءِ ذَاتِ ٱلۡبُرُوجِ }
“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang;” (Surah Al-Burūj: 1)
Ilmu itu mulanya daripada wahyu, tetapi tamadun Barat mengambil ilmu Islam dan mengasingkan wahyu, lalu menghasilkan ideologi sekularisme, liberalisme dan humanisme. Mereka menganggap akal sahaja sebagai sumber ilmu, sedangkan akal manusia itu terbatas.
Natijahnya, mereka membina masyarakat yang bebas tetapi akhirnya merosakkan diri sendiri. Mereka menolak agama, tetapi dalam masa yang sama mencipta peraturan baru yang tidak masuk akal.
Sebagai contoh, golongan ateis yang menolak Tuhan tetap mahu berkahwin – lalu mereka mencipta perkahwinan sivil. Mereka tidak mahu syariat tetapi tetap mencari sistem undang-undang. Akhirnya, peraturan yang mereka cipta sendiri gagal menyelesaikan masalah masyarakat.
Hakikatnya, sistem yang mereka bina bukanlah nilai kemanusiaan, tetapi ‘nilai kebinatangan’ – di mana manusia hidup mengikut nafsu tanpa batasan agama.
Kesimpulan: Kembali kepada aturan Allah
Justeru, umat Islam mesti kembali kepada wahyu sebagai sumber ilmu dan kehidupan. Kita tidak boleh terperangkap dengan ideologi moden yang menjanjikan kebebasan tetapi sebenarnya membawa kehancuran.
Islam adalah sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Ia bukan sekadar agama individu, tetapi panduan membina tamadun yang harmoni antara dunia dan akhirat. Oleh itu, kita mesti mempertahankan syariat Allah dan mendidik masyarakat agar tidak terjerat dalam perangkap ideologi yang menyesatkan.
Wallahua’lam. Tamat.
(Catatan dan ubahsuai berdasarkan syarahan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Haji Mohamad Fadzil)
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
19 Syaaban 1446H – 18 Februari 2025 – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!