Sudah ada kuasa besar, kenapa nak jadi pendesak?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan agar jangan terlalu ghairah kononnya sebagai ‘kerajaan menanti’ dan menubuhkan jawatankuasa bayangan.

- Advertisement -

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, walaupun untuk bercita-cita atau memasang angan-angan itu tidak salah, namun tanggungjawab sedia ada dipikul Saifuddin perlu dilaksanakan dahulu.

“Tetapi kalau ikutkan, Saifuddin tak perlu susah-susah tubuh jawatankuasa bayangan terhadap pentadbiran negeri. (Kerana) kuasa ada pada dia iaitu Pengerusi Majlis Pembangunan Negeri Kedah (MPNK) lebih besar dari hanya menjadi pendesak,” katanya.

Namun tegas Zulkifli, beliau tidak pasti sama ada Menteri Dalam Negeri itu terlupa kepada tanggungjawabnya sehingga terpaksa berfikir untuk memposisikan kedudukan sebagai ‘kerajaan menanti’ kononnya bagi kebaikan negeri ini.

Kata Zulkifli, beliau juga hairan bagaimana seorang Menteri yang sentiasa sibuk sehingga tiada masa untuk mengadakan mesyuarat bersama di dalam MPNK, boleh dilantik sebagai ketua mewakili PH Kedah.

Sementara, dalam masa yang sama katanya, diberi pula mandat yang besar dan berat iaitu merampas Kedah dari Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

“Rakyat Kedah sepatutnya beruntung kerana bernaung bawah dua kerajaan yang berbeza iaitu negeri dan Pusat. Tapi malang hanya negeri yang benar-benar berperanan.

“Sedangkan pembangunan yang sewajarnya dibangun serta diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, terbengkalai begitu sahaja,” tambah beliau lagi.

Katanya, kalau PH mahu menambat hati rakyat Kedah, projek ikonik yang membawa manfaat seperti Kedah Rubber City (KRC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan lain-lain, perlu diberi laluan mudah oleh Kerajaan Persekutuan diterajui pakatan berkenaan.

“Rakyat pun saya rasa mungkin ‘cuak’ nak beri undi kepada PH pada pilihan raya akan datang, sebab banyak perkara tidak ditangani dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan.

“Isu pertanian, beras tempatan, harga lantai padi, walau dinaikkan tapi masih belum dapat menampung kos input penanaman yang tinggi, harga barangan melambung mahal dan lain-lain,” bidas.

Kata Zulkifli lagi, rakyat Kedah sudah selesa dengan pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang bukan sahaja berjiwa rakyat, malah sentiasa membuka ruang luas terhadap kebajikan rakyat sejak Kedah diambil alih Perikatan Nasional (PN) pada 17 Mei 2020 lalu.

Sementara masalah air yang membelenggu rakyat sejak sekian lama katanya lagi, diambil perhatian serius dan proses naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) dan pemasangan paip baharu, hampir selesai.

Kelmarin, Saifuddin mengumumkan sebuah jawatankuasa bayangan dibentuk hasil resolusi Konvensyen Perpaduan Kedah kononnya sebagai langkah strategik dalam memastikan mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri agar berfungsi lebih berkesan.

Jawatankuasa bayangan dakwanya, ditubuhkan adalah bagi setiap portfolio Exco Kerajaan Negeri untuk memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang yang efektif.

“Kita tidak mahu hanya kerajaan negeri yang sentiasa menyerang Kerajaan Persekutuan tanpa dipertanggungjawabkan atas pentadbiran sendiri,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!