‘Malu mempunyai pemimpin utama negara seperti ini’

Dato' Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran), mengingatkan bahawa pemimpin harus bersedia menerima teguran dan kritikan, terutama dalam menjalankan tugas sebagai pentadbir negara. 

- Advertisement -

Beliau merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kepentingan Parlimen sebagai medan perbincangan utama dan mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara.

Namun, menurutnya, sikap pemimpin kerajaan hari ini seolah-olah tidak menghormati prinsip tersebut. 

“Kerajaan hari ini terutama pemimpin utama seperti perdana menteri sendiri tidak mempunyai pemikiran terbuka, begitu juga sebahagian menteri dan penyokong kerajaan yang merupakan pemerintah negara tidak menghayati titah Tuanku agar jadikan parlimen sebagai medan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Malah, ujarnya kadang-kadang memperlekeh atau hilang rasional perlu menjawab pertanyaan ahli-ahli parlimen terutama dari pembangkang seolah-olah rasa dendam masih ada dan tidak boleh ditegur.

“Susah sangatkah nak terima teguran daripada orang lain? Saya malu mempunyai pemimpin utama negara seperti ini, malu macam kebudak-budakan, contoh peristiwa dialami oleh yang Berhormat Machang ketika dalam sesi MQT soalan menteri.

“Masa pertanyaan menteri baru-baru ni, kalau renung dan nilai apakah tindakan sedemikian menampakkan ciri-ciri kederhakaan?

“Kalau takut dilambung ombak, jangan bermain di tepi pantai, kalau tak sanggup berhadapan masalah dan teguran, jangan jadi pemimpin apatah lagi jadi perdana menteri,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan sekadar menikmati kuasa, tetapi juga menanggung kepahitan dan cabaran dalam mentadbir negara.

“Saya minta Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan rasakan sedikit kepahitan sebagai pemimpin kerana banyak yang pahit-pahit itu sebenarnya menjadi ubat kepada kita,” katanya.

Ismail juga mengingatkan pemimpin kerajaan agar tidak mengulangi tindakan mereka semasa berada di blok pembangkang dahulu.

“Jangan bawa tabiat buruk semasa anda semua menjadi pembangkang dahulu. Saya sempat bersama mereka. Saya sempat dengan insiden yang dilakukan dahulu yang amat memalukan saya dan negara usah sebut perarakan haram, merosakkan kereta polis dan lain-lain lagi.

“Malah ketika itu kalau sudah tak ada isu sangat dalam parlimen ada sampai usulkan potong RM10 gaji menteri di semua kementerian semasa membahaskan bajet semata-mata untuk memalukan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, pembangkang hari ini lebih matang dalam menjalankan peranan.

“Pembangkang hari ini ada adab sopannya dan bukannya membabi buta untuk burukkan kerajaan. Sepertimana yang ditegas awal lagi oleh ketua pembangkang dahulu Larut, yang betul dan baik kerajaan lakukan, kami akan sokong. Tetapi yang tak betul, yang salah, kami akan tegur dan memberikan pandangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!