KUALA LUMPUR: Malaysia digesa memainkan peranan lebih tegas dalam kepimpinan ASEAN bagi menghadapi cabaran geopolitik serta perang perdagangan global yang semakin memuncak.
Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkata, antara cabaran utama yang perlu ditangani oleh ASEAN adalah dasar perlindungan ekonomi dan tindakan unilateral oleh Amerika Syarikat, yang disifatkan sebagai satu bentuk kolonialisasi baharu.
“Malaysia perlu menunjukkan kepimpinan yang lebih agresif di peringkat ASEAN sehingga mampu untuk menyerap pelbagai tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan juga lain-lain blok ekonomi supaya tidak memberi kesan yang serius kepada industri dan juga syarikat-syarikat yang beroperasi dalam negara kita dan di ASEAN secara khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha untuk menyatukan ASEAN bukan sesuatu yang mudah memandangkan setiap negara anggota mempunyai kekuatan ekonomi dan nasional yang berbeza.
“Apakah baki 10 bulan lagi yang tinggal dengan jawatan kepengerusian ASEAN ini mampu untuk Malaysia membawa ASEAN sebagai blok ekonomi yang berjaya terutama untuk melaksanakan tiga fokus strategi yang dirangkakan,” soalnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam menghadapi persaingan global.
“Amerika Syarikat merupakan antara rakan (dagang) terbesar dan terpenting di rantau ASEAN, dan kita akan terus meningkatkan hubungan ini melalui mekanisme ASEAN.
“Itu sebabnya kerjasama dalam dagangan ini perlu kita tingkatkan melalui mekanisme ASEAN itu. Insya-Allah dengan kepengerusian Asia pada kali ini kita akan ambil peluang bagaimana untuk melebarkan lagi kerjasama kita malah di luar rantau ASEAN ini,” katanya.
Beliau juga melihat potensi besar dalam memperluaskan kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) China yang melibatkan lebih 2.15 bilion penduduk.
Dalam soalan asal, Samsuri meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah langkah strategik yang diambil oleh Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dalam mencapai tiga strategi yang ditetapkan iaitu pengukuhan rantaian nilai serantau, pengukuhan asas negara anggota serta penyelarasan dan penyusunan semula ekonomi negara-negara ASEAN. – HARAKAHDAILY 17/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!