Echo of Palestine satukan sokongan global untuk Palestin

Nadzir Helmi (paling kiri) ketika menyuarakan pandangannya di Persidangan Antarabangsa Echo of Palestine.
- Advertisement -

ISLAMABAD: Persidangan Antarabangsa Echo of Palestine yang berlangsung di sini pada 15 dan 16 Februari lalu, menyatukan suara global dalam memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi, berkata penjajahan Israel ke atas Palestin serta pembunuhan beramai-ramai di Gaza bukan sekadar isu serantau, tetapi merupakan krisis kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera dari masyarakat antarabangsa.”

Menurutnya, antara rumusan utama persidangan itu ialah genosid di Gaza mesti dihentikan segera kerana serangan tanpa henti ke atas rakyat Gaza melalui pengeboman, sekatan dan operasi ketenteraan yang kejam menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa puluhan ribu rakyat Palestin.

- Advertisement -

Katanya, persidangan itu menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa untuk menghentikan keganasan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan.

“Israel secara sistematik menyerang hospital, sekolah, tempat ibadah dan bangunan yang menempatkan orang awam. Tindakan ini adalah jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Badan dunia seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Majlis Keselamatan PBB mesti memainkan peranan lebih efektif dalam menegakkan keadilan.

“Persidangan juga menuntut kebebasan mutlak Palestin dengan menegaskan bahawa isu Palestin bukan hanya berkaitan konflik semasa, tetapi berakar dari lebih tujuh dekad penjajahan, pencerobohan dan penindasan terhadap rakyat Palestin. Justeru, penyelesaian sebenar bukan sekadar gencatan senjata, tetapi pengakhiran sepenuhnya pendudukan Israel dan pemulihan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan media di media sosial, hari ini.

Persidangan kecam campur tangan AS

Nadzir berkata, persidangan itu juga mengutuk kenyataan dan campur tangan kuasa besar melalui kenyataan pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mencadangkan pelan penjajahan semula Gaza sedangkan Palestin adalah hak mutlak rakyat Palestin dan tiada kuasa asing yang berhak menentukan masa depan mereka.

Katanya, persidangan itu juga menggesa kerajaan Islam untuk bersatu dan mengambil langkah konkrit membantu Palestin, iaitu selain sokongan politik dan diplomatik, negara Islam perlu mewujudkan Dana Pemulihan Gaza bagi membantu membina semula infrastruktur yang musnah akibat serangan Israel.

“Persidangan ini menuntut negara anggota ICC untuk melaksanakan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang didakwa sebagai penjenayah perang. Persidangan juga menggesa agar sekatan ekonomi dan ketenteraan dikenakan ke atas Israel sehingga ia menghentikan keganasannya.

“Antara cabaran besar dalam konflik Palestin adalah manipulasi media global yang sering memutarbelitkan fakta dan mengabaikan penderitaan rakyat Palestin. Oleh itu, persidangan ini menyeru masyarakat dunia untuk menyokong media bebas yang menyampaikan kebenaran serta memastikan suara rakyat Palestin didengar dan diperjuangkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, persidangan juga mengiktiraf peranan golongan muda dalam menyebarkan kesedaran dan memimpin gerakan solidariti global. Justeru, usaha perlu digiatkan untuk melibatkan lebih ramai anak muda dalam advokasi keadilan bagi Palestin melalui aktiviti politik, diplomatik dan kempen kesedaran sosial.

Ikhtiar rakyat Malaysia bantu Palestin

Sementara itu, katanya sebagai negara yang konsisten menyokong Palestin, rakyat Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin.

Katanya, ini boleh dilakukan dengan mendesak kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan usaha diplomasi di peringkat antarabangsa dan menekan organisasi dunia untuk bertindak lebih tegas terhadap Israel.

“Rakyat juga perlu menghentikan sokongan kepada syarikat yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada ekonomi Israel serta menyokong media bebas yang menyebarkan maklumat sahih dan menentang naratif palsu yang dikawal oleh media pro-Israel,” katanya.

Nadzir juga meminta rakyat terus bersolidariti dengan menyertai kempen kesedaran, perhimpunan aman, dan aktiviti sokongan lain untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Beliau berkata, Persidangan Echo of Palestine menegaskan bahawa keadilan tidak boleh ditangguhkan lagi dan dunia tidak boleh terus berdiam diri ketika rakyat Palestin terus menderita.

“Palestin bukan hanya perjuangan rakyat mereka, tetapi perjuangan kita semua. Rakyat Malaysia mesti terus berdiri teguh dalam mempertahankan keadilan, kemanusiaan dan hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!