
SEPANG: Ahmad Nor Al Faizan, 47, lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental yang dipukul, baru-baru ini memberitahu akan berdoa untuk diri sendiri dan keluarganya apabila berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah yang ditaja oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia).
“Saya berdoa supaya diberi kesihatan untuk saya dan keluarga serta kebahagiaan keluarga. Pada masa sama, saya akan turut cuba mendoakan hasrat saudara mara dan rakan-rakan yang ramai `mengirimkan doa’,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Paijang dalam kalangan rakan-rakan sekolahnya, ditemani dua anaknya, Nurul Farhana dan Ahmad Faris serta diiringi imam Masjid Kampung Batu 2 1/2 Mak Chili, Adnan Ab Majid, iaitu masjid yang sering Ahmad Nor kunjungi. Pakej antara 17 sehingga 28 Februari itu ditaja sepenuhnya oleh Andalusia dengan penerbangan SV 0841 akan terus ke Jeddah.
Ahmad Nor memberitahu telah membuat persediaan untuk menunaikan ibadah umrah dalam tempoh dua minggu lalu dan berharap dapat menunaikannya dengan baik serta memperoleh umrah mabrur.
“Saya terkejut dan tidak menyangka mendapat tawaran itu. Saya bersyukur kerana Andalusia, sebuah syarikat ternama bermurah hati menaja pakej umrah itu.
Turut mengiringi bagi mengucapkan selamat berangkat adalah Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin yang menawarkan pakej kepada keluarga OKU itu selepas melihat video insiden itu yang tular di media sosial. Pengarah yang juga Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan isteri Ahmad Nor, Faridah Abdul Karim bersama anak bongsunya juga hadir.
Menurut Ida Riswana, penajaan pakej RM7,000 setiap seorang itu adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Andalusia yang sering dilakukan melibatkan suasana atau kumpulan tertentu.

“Ini adalah peluang bagi Andalusia berkongsi rezeki dengan beliau dan keluarga dan di sana nanti dapat berdoa dan meluahkan isi hatinya (di depan Kaabah) supaya peroleh ketenangan dan dapat menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.
Katanya, pakej CSR seumpama itu yang tidak dirancang lebih awal akan berterusan kerana bagi Andalusia, setiap rezeki yang diperoleh, ada bahagian untuk orang lain.
Malah, katanya sebelum ini, Andalusia memberi pakej istimewa kepada sekumpulan jemaah yang terkandas apabila syarikat pengendali umrah gagal menunaikan tanggungjawab menerbangkan jemaah pada saat akhir.
Dalam kejadian 17 Januari lalu, Ahmad Nor dipukul di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka, Chukai Kemaman, Terengganu. Kejadian itu mendapat tumpuan pelbagai pihak setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, Ahmad Nor Al Faizan yang menghidap bipolar disorder dirawat di Hospital Kemaman sebelum dibawa ke klinik pakar psikiatri Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin untuk rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan itu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh lalu bertaburan di atas jalan. Berikutan itu, beberapa individu yang berada di lokasi itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian itu. – HARAKAHDAILY 17/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!