TMB harap usaha Yayasan PETRONAS dicontohi

Inisiatif sosial konglomerat untuk masyarakat

- Advertisement -

MACHANG: Hubungan erat antara kaum di negeri Kelantan menjadi kukuh melalui interaksi sosial, perniagaan serta aktiviti kemasyarakatan yang berlangsung dalam suasana harmoni.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semangat muhibah ini perlu dipertahankan agar keamanan yang dikecapi kini terus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Melalui program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2025 ini, PETRONAS tampil sebagai rakan strategik pembangunan sosial dengan membantu golongan yang memerlukan.

“Saya difahamkan di Kelantan, sumbangan program ini diberikan kepada 100 penerima bertuah dari Jajahan Kota Bharu dan Machang, manakala secara keseluruhan, 2,100 penerima terpilih di 11 negeri seluruh Malaysia turut menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha sebegini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat, malah mengukuhkan hubungan antara sektor korporat dan masyarakat.

Beliau berharap lebih banyak syarikat konglomerat lain dapat mencontohi PETRONAS dalam menjayakan inisiatif sosial yang membawa manfaat besar kepada masyarakat.

Sempena Tahun Baharu Cina 2025 juga beliau menyeru rakyat untuk bersyukur atas pencapaian yang diraih pada tahun sebelumnya serta berusaha mencapai kejayaan lebih gemilang pada tahun ini.

“Semoga usaha PETRONAS ini dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara PETRONAS, para kakitangannya, dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua, dengan harapan tahun ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada semua.

Sementara itu Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Syazly Ramli, berkata Yayasan PETRONAS terus komited dalam melaksanakan program kemasyarakatan menerusi tiga teras utama, iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti, serta alam sekitar.

Katanya, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang kurang berkemampuan.

“Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, kami berusaha memastikan setiap individu berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Beliau berharap program ini dapat memberi manfaat besar serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Untuk Tahun Baharu Cina kali ini, Yayasan PETRONAS mensasarkan sumbangan kepada 2,100 keluarga di seluruh Malaysia dengan jumlah bantuan bernilai RM420,000.

Manakala di Kelantan, seramai 100 keluarga terpilih khususnya di Jajahan Kota Bharu dan Machang bakal menerima sumbangan Yayasan PETRONAS dalam satu majlis yang diadakan pada petang ini. – HARAKAHDAILY 15/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!