MACHANG: Kilang Beras Darul Naim yang akan dibuka di negeri ini adalah bagi memperkukuh bekalan beras negara khususnya di Kelantan, kata Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Maklum beliau, kilang itu akan dibuka di Meranti, Pasir Mas bagi menyokong pengusaha padi tempatan dan memastikan hasil padi dapat dikilangkan sendiri di negeri ini.
“Pembukaan kilang beras ini adalah usaha untuk membantu pesawah-pesawah di Kelantan,” katanya selepas merasmikan Majlis Memacu Kehidupan Selamat Tahun Baharu Cina, di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika dihubungi berkata, kilang Beras Darul Naim yang akan dibina berkonsepkan kerjasama dengan pelabur luar dan agensi negeri ini.
Menurutnya, kilang berkenaan hampir siap dan sedang menunggu kelulusan untuk beroperasi, dijangka tahun ini.
“Kilang ini akan membeli hasil padi daripada pesawah-pesawah tempatan dengan harga yang baik dan kita akan menghasilkan beras untuk negara.
“Apabila kilang ini dibuka, ia akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi padi pesawah-pesawah tempatan,” jelasnya.
Terdahulu media melaporkan kilang padi Bumiputera terbesar di Perlis yang sudah beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal ‘gulung tikar’ kerana menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perkara tersebut dikaitkan dengan dasar Kerajaan Madani yang tidak membela kepentingan pihak berkaitan sektor dan industri ini, sebaliknya membiarkan kartel-kartel terlibat melakukan manipulasi dan monopoli. – HARAKAHDAILY 14/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!