
KUALA LUMPUR: Hampir 200 peserta terdiri daripada Ahli Parlimen, pakar akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pemimpin masyarakat menghadiri Bengkel Pemerkasaan Institusi Keluarga: Keseimbangan Kerja-Hidup dan Pembangunan Populasi.
Bengkel anjuran Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Penduduk dan Pembangunan Malaysia (AFPPD Malaysia) ini bertujuan membincangkan strategi serta cabaran dalam memperkukuh institusi keluarga, menyeimbang kehidupan kerja dan mencapai pembangunan populasi yang mampan.
Pengerusi Kluster Wanita AFPPD, Dr Halimah Ali yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, program itu menyediakan platform perbincangan holistik bagi mengenal pasti dasar serta sistem sokongan terbaik dalam memperkukuhkan institusi keluarga.
“Keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga adalah elemen penting membentuk masyarakat harmoni. Perbincangan ini diharap mencetuskan idea serta inisiatif baharu dalam dasar berkaitan keluarga dan pembangunan sosial,” ucapannya di Blok Utama, Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas serta Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.
Juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu, Zuraida Md Noor dan ADUN Permatang, Selangor Nurul Syazwani Noh serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam.
Bengkel itu turut menampilkan tiga sesi perbincangan utama yang memberi tumpuan kepada dasar keluarga, keseimbangan kerja-hidup, serta peranan teknologi dalam pembangunan mampan.
Sesi pertama membincangkan ‘Dasar Berpusatkan Keluarga dan Sistem Sokongan’ dengan menekankan kepentingan dasar yang menyokong institusi keluarga serta sistem sokongan efektif bagi memastikan kesejahteraan sosial.
Perbincangan itu dikendalikan Ketua Pegawai Saintifik Ming Medical Sdn Bhd, Dr Siti Aminah Muhammad Imran, dengan panel terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Parlimen, Dato’ Mumtaz Md Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Selain Setiausaha Agung Perhimpunan Antara-Parlimen ASEAN (AIPA), Ar Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman dan wakil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairil Fadzly Md Akhir juga selaku panel.
Sesi kedua membincangkan ‘Dasar dan Cabaran Keseimbangan Kerja-Hidup’ yang mengetengahkan kepentingan keseimbangan kerja-hidup dalam membina masyarakat produktif serta cabaran yang dihadapi individu dalam mencapai perkara itu.
Perbincangan itu dikendalikan juga oleh Dr Siti Aminah bersama panel oleh Dr Halimah dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO Malaysia), Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Sesi akhir membincangkan ‘Teknologi dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)’ yang membincangkan mengenai teknologi dapat dimanfaatkan bagi mencapai SDG, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Sesi itu dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Ahli panel pada sesi itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Parlimen, Yeo Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong.
Juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Siti Norul Huda Sheikh Abdullah. – HARAKAHDAILY 14/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!