KOTA BHARU: Pembangunan Madinah Ar-Riadhah di Kompleks Sukan Bukit Merbau berjalan lancar dengan beberapa komponen siap lebih awal daripada jadual asal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, projek ini melibatkan tiga kontrak utama iaitu kerja tanah dan jalan masuk utama, kerja infrastruktur serta pembinaan stadium utama.
“Menurut laporan kemajuan, kontrak kerja tanah dan jalan masuk utama bernilai RM62 juta kini mencatatkan kemajuan 74.11 peratus, iaitu 1.11 peratus lebih awal berbanding jadual yang ditetapkan.
“Jalan masuk utama sepanjang 2.854 kilometer telah siap 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 29 Julai 2025,” katanya.
Tambahnya, antara komponen utama yang telah siap adalah tapak stadium utama serta stadium tertutup serbaguna.
“Selain itu, lapang sasar menembak dijangka siap pada 1 Mac 2025, manakala padang bola sintetik pula pada 4 April 2025. Dalam kontrak kerja infrastruktur yang bernilai RM53 juta, kemajuan semasa menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Dengan 21.92 peratus siap berbanding jadual asal 18.40 peratus, melebihi sasaran sebanyak 3.52 peratus atau 29 hari lebih awal,” ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, antara kemajuan yang dicatatkan ialah kerja pemasangan paip air yang kini siap 62 peratus dan dijangka selesai pada 10 Mac 2026.
Sementara itu, pembinaan Suction Tank dan Pump House masing-masing mencatatkan 89 peratus dan 63 peratus siap dengan tarikh jangka siap pada 29 November 2026.
Bagi kontrak kerja pembinaan Stadium Utama Bukit Merbau bernilai RM178 juta, kerja-kerja awal seperti penanaman cerucuk dan pemasangan hoarding di sekitar tapak sedang giat dijalankan.
Selain itu, beberapa venue lain dalam projek ini masih berada pada peringkat perolehan dan perancangan, termasuk Stadium Hoki, Arena Tertutup, Kompleks Skuasy dan Lawn Bowl, serta Padang Ragbi dan Padang Bola.
Setakat ini, kemajuan projek mencatatkan 5.75 peratus, sedikit melebihi jadual yang ditetapkan iaitu 5.65 peratus.
Beliau memeberitahu demikian sewaktu sesi dialog bersama media di majlis Mahaabah Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Media malam tadi di sini.
“Kita mahu melihat Kelantan sebagai hab sukan yang mampu menganjurkan pelbagai kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
“Dengan adanya Madinah Ar-Riadhah, kita yakin prasarana yang disediakan dapat memberikan manfaat besar kepada atlet dan masyarakat setempat,” katanya.
Projek ini diharap dapat meningkatkan lagi kemudahan sukan dan rekreasi di negeri ini sekali gus melonjakkan pembangunan di kawasan sekitarnya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!