KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegur jawapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata jawapan balas terhadap soalan tambahan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang), tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang memegang jawatan nombor satu dalam negara ini.
“Jadi bila kita bangkitkan ini (kerajaan) kena ambil kira, tak payahlah sebut Machang, terlampau rendah, apa ini Perdana Menteri tak payah cakap perkara-perkara yang begitu.
“Saya tidak mahu bangkitkan siapa sebelum ini Machang ini yang di belakang Tambun pernah jadi wakil rakyat Machang, jadi tak payah bangkit perkara ini,” katanya.
Terdahulu Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) bertanya mengenai persoalan rasuah, dilepas tanpa dibebas (DNAA) dan isu adendum menjadi antara punca pelabur asing menjual pegangan saham mereka.
Bagaimanapun Perdana Menteri menganggap persoalan tersebut dibangkitkan kerana Wan Fayhsal tidak mendengar penjelasan disampaikan, lalu membuat sindiran mengenai pembangunan di Machang.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, beliau juga hairan gelagat pihak kerajaan yang suka melenting apabila dikemukakan soalan sedangkan pembangkang berfungsi sebagai imbang dan periksa.
Menurut beliau, pihaknya memberi pelbagai pandangan agar kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian selain kehidupan rakyat dapat ditambah baik dan ekonomi berkembang. – HARAKAHDAILY 13/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!