Perlis perlu RM40 juta, baiki sistem saliran sawah

- Advertisement -

ARAU: Sistem pengairan yang tidak terurus dengan baik setiap musim menyebabkan kerugian kepada para pesawah di Perlis.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, penanaman padi lima kali dalam dua tahun dapat direalisasikan sekiranya sistem saliran dibaik pulih sepenuhnya.

“Kawasan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempunyai jadual tertentu, tetapi tidak dapat diikuti kerana gangguan pada sistem saliran. Sebanyak RM40 juta diperlukan untuk membaik pulih keseluruhan sistem pengairan di Perlis.

“Hanya kawasan berdekatan saliran boleh menjalankan penanaman padi lima kali dalam dua tahun. Perlis adalah antara negeri yang giat dalam sektor penanaman padi, dan melalui RMK13, kita berharap kawasan pertanian dapat dikemas kini,” katanya.

Beliau turut menyebut beberapa kawasan di Arau seperti Tambun Tulang dan Guar Sanji yang berpotensi untuk menerima manfaat daripada penambahbaikan sistem saliran ini.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa 80 peratus daripada 25,000 pesawah di negeri ini berumur 55 tahun ke atas, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kesinambungan sektor pertanian pada masa hadapan.

“Kita bimbang keadaan seperti di Pulau Pinang, di mana minat terhadap pertanian semakin berkurangan. Sedangkan pertanian sebenarnya membawa keuntungan besar sekiranya diusahakan dengan cara yang betul,” ujarnya.

Selain itu jelas Razali, tanaman padi ala Sekinchan hanya dapat direalisasikan jika sistem saliran dibaiki.

“Di Sekinchan, sistem saliran dibina dahulu barulah ada penempatan. Di sini, penempatan sudah ada baru nak bina sistem saliran.

“Namun, teknologi yang ada di situ boleh menjadi contoh kepada pesawah di Perlis untuk meningkatkan hasil mereka.

“Sikap pesawah yang mahu maju harus seiring dengan arus semasa, kerana jika kekal dengan cara lama, ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan hasil pertanian,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!