Lantik Menteri HEA Bukan Islam salahi Perlembagaan

Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, menegaskan bahawa dokumen sejarah Perlembagaan tidak pernah membincangkan pelantikan Menteri Bagi Hal Ehwal Agama (HEA) Bukan Islam di negara ini.

Beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, ini berbeza dengan kedudukan Islam yang jelas termaktub dalam Perkara 3 dan 12(2) Perlembagaan.

- Advertisement -

“Tidak pernah ada niat atau amalan di negara ini serta tiada niat Perlembagaan untuk tujuan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.

“Ini boleh dilihat dalam dokumen sejarah Perlembagaan yang tidak pernah membincangkan hal ini berbanding kedudukan Islam. Perkara 12(2) hanya untuk penubuhan institusi Islam,” katanya dalam media sosial miliknya.

Tiada peruntukan Perlembagaan

Dr Shamrahayu menjelaskan bahawa meskipun Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3, kebebasan beragama tetap dijamin melalui Perkara 11.

Namun jelasnya, tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam di peringkat Persekutuan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa tiada peruntukan dalam Senarai Persekutuan yang membolehkan ’agama’ dijadikan asas untuk pelantikan menteri yang dimaksudkan.

“Oleh itu, agama adalah berada pada kuasa negeri kerana perkara baki (residual) – iaitu perkara yang tidak dinyatakan dalam Senarai Perundangan – adalah di bawah kuasa negeri mengikut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini berbeza dengan Islam, yang mempunyai struktur pentadbiran jelas melalui Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan menurut undang-undang negeri.

“Maka, Perlembagaan tidak membenarkan urusan agama bukan Islam dibuat dengan pelantikan menteri khusus,” katanya.

Hak penganut agama lain tetap terpelihara

Dr Shamrahayu turut menegaskan bahawa amalan pentadbiran negara tidak pernah mengenepikan urusan penganut agama selain Islam.

“Terdapat kementerian dan jawatankuasa yang menjaga hak serta kepentingan orang bukan Islam, iaitu Kementerian Perpaduan dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.

“Kebajikan pendidikan juga tidak diabaikan oleh kerajaan. Untuk kebajikan lain, ia boleh diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti hal berkaitan penubuhan rumah-rumah untuk melaksanakan ritual agama mereka,” katanya.

Pelantikan menteri boleh cetus perbezaan antara agama

Dr Shamrahayu berpandangan bahawa pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam boleh menimbulkan perbezaan dalam kalangan penganut agama.

“Mungkin soal siapa dan agama menteri boleh menjadi punca perbalahan dalam kalangan penganut agama selain Islam.

“Sekarang ini, fungsi ini dilaksanakan oleh Menteri Perpaduan dan tidak timbul persoalan mengenai agama YB Menteri. Bahkan, pada ketika ini, kerjasama antara Menteri Perpaduan dan Menteri Hal Ehwal Agama Islam berjalan dengan baik,” katanya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pelantikan seorang lagi menteri akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Boleh cetus ketegangan dan sukar dilaksanakan

Menurut Dr Shamrahayu, pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam juga boleh memberi gambaran seolah-olah Perlembagaan berniat mewujudkan kesamarataan antara agama, sedangkan ia tidak pernah menjadi niat Perlembagaan.

“Perlembagaan tidak mengabaikan kepentingan komuniti lain termasuk hak mereka yang beragama selain Islam.

“(Namun), tidak mudah untuk seorang menteri menguruskan agama selain Islam kerana terdapat banyak kepercayaan berbeza seperti Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain. Keadaan ini membuka ruang kepada ketegangan antara agama-agama lain dan pecahan dalam agama-agama tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang diiktiraf oleh kerajaan lebih mampu mengendalikan urusan orang bukan Islam berbanding mewujudkan seorang menteri khusus untuk hal ehwal agama bukan Islam.

“Pengurusan dan keurusetiaan jawatankuasa ini sedang diuruskan atau dikendalikan oleh Menteri Perpaduan Negara,” katanya.

Tidak perlu Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam

Shamrahayu merumuskan bahawa pertamanya, tiada keperluan dan tidak boleh melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.

Kedua, katanya, tiada pengabaian terhadap kebajikan orang bukan Islam di Malaysia serta pendidikan dan kebajikan agama lain yang turut terjaga.

Ketiga tambahnya, tiada justifikasi atau punca kuasa undang-undang untuk pelantikan tersebut.

“Keempat, amalan pentadbiran agama bukan Islam di negara ini adalah tersusun dan kerajaan sentiasa mengambil berat hal ehwal agama selain Islam.

“Kelima, sebagai alternatif, kerajaan boleh memperkasakan mekanisme sedia ada,seperti mengukuhkan kerja Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum atau memperluas platform dialog antara agama untuk memastikan kebajikan dan keharmonian masyarakat majmuk sentiasa terjaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!