KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dengan tegas menolak cadangan Ahli Parlimen Raub untuk menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam di peringkat Persekutuan, menyifatkan cadangan itu sebagai karut dan tidak berpaksikan kepada realiti Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri, berkata cadangan Chow Yu Hui dari Pakatan Harapan-DAP, berpotensi menjejaskan keharmonian yang telah lama terjalin dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa urusan hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan, atau Raja sebagai Ketua Agama Islam.
“Tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan khas bagi hal ehwal bukan Islam di peringkat Persekutuan kerana urusan berkaitan agama-agama lain ditangani dengan baik melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pelbagai agensi lain yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hafez menegaskan bahawa cadangan itu tidak mengambil kira realiti keharmonian masyarakat Malaysia yang telah lama hidup dalam suasana saling menghormati tanpa memerlukan struktur pentadbiran tambahan yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Malaysia telah lama mengamalkan pendekatan integrasi melalui perpaduan, di mana semua agama dan kaum diraikan dalam kerangka sedia ada yang inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, penubuhan jabatan begini di peringkat Persekutuan berisiko menimbulkan salah faham serta ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, selain membuka ruang kepada manipulasi politik yang tidak sihat.
“Islam sebagai agama Persekutuan sudah diiktiraf dalam Perlembagaan, dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka juga dijamin. Maka, cadangan ini adalah tidak relevan dan tidak diperlukan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia katanya meminta Ahli Parlimen Raub supaya lebih menumpukan perhatian kepada isu rakyat yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, dan pembangunan ekonomi, daripada mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, Pemuda PAS Malaysia turut menggesa semua pihak, terutamanya ahli politik, agar lebih bertanggungjawab dalam setiap cadangan yang dikemukakan supaya tidak mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan negara.
“Malaysia telah lama menikmati keamanan melalui pendekatan yang sedia ada, dan tiada keperluan untuk mencipta struktur yang berisiko menimbulkan perpecahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!