Fenomena pelajar tidak duduki SPM membimbangkan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin melahirkan kebimbangan selepas lebih 900 pelajar dilaporkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri itu.

- Advertisement -

Fenomena itu dipercayai berlaku disebabkan pelajar beranggapan masih boleh mendapat kerja di Singapura dengan gaji besar kerana kadar mata wang yang tinggi tanpa menggunakan kelayakan SPM.

“Namun, perlu diingat bahawa pendidikan adalah asas penting dalam pembangunan diri dan negara. Dalam Islam, menuntut ilmu adalah satu kewajiban seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW ‘Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim’ (Hadis riwayat Ibnu Majah).

“Ilmu bukan sekadar untuk memperoleh pekerjaan tetapi juga untuk membentuk sahsiah, memperluas pemikiran, dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau memberi peringatan kepada ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka dapat menyempurnakan pendidikan sehingga ke peringkat SPM.

“Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka menyempurnakan pendidikan sehingga memperoleh sijil SPM sebagai langkah asas untuk masa depan yang lebih baik.

“SPM bukan sekadar satu peperiksaan, tetapi merupakan titik permulaan dalam membina masa depan yang lebih baik,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

Belakangan ini, isu pelajar yang tidak mengambil peperiksaan SPM semakin membimbangkan dan mendapat perhatian ramai khususnya dalam golongan ibu bapa dan pendidik di negara ini.

Ia susulan laporan yang dikeluarkan bahawa terdapat sekitar 10,000 pelajar tidak mengambil peperiksaan itu di seluruh negara tahun lalu. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!