TAICHUNG: Sekurang-kurangnya lima orang maut, manakala 20 lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 pagi waktu tempatan di tingkat 12 bangunan berkenaan dan dikaitkan dengan kebocoran tangki gas yang sedang diganti di medan selera yang sedang dalam pembinaan.
Antara yang maut, termasuk dua orang pelancong dari Macau yang ditimpa objek berat ketika melintasi lokasi kejadian.
Rakaman video menunjukkan panel tingkap jatuh ke kaki lima dan jalan raya di bawah, dengan asap tebal keluar dari tingkat 12 bangunan.
Beberapa rakaman lain dari dalam pusat beli-belah itu pula menunjukkan dinding yang rosak akibat letupan, serta air mencurah keluar dari paip yang pecah.
Apabila pasukan bomba masuk ke dalam bangunan selepas kejadian, mereka mendapati tingkat yang letupan itu berlaku hampir musnah sepenuhnya.
Video yang dikongsi oleh Jabatan Bomba Taichung menunjukkan serpihan runtuhan, logam yang tergantung di siling serta lantai dipenuhi sisa letupan. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak dalam kawasan runtuhan itu.
Operasi menyelamat masih dijalankan dengan lebih 130 anggota bomba berada di lokasi kejadian, menurut Agensi Bomba Kebangsaan.
Rakaman media tempatan menunjukkan ambulans dan petugas kecemasan mengepung kawasan itu serta membawa pengusung untuk mangsa yang cedera.
Dalam satu hantaran di Facebook, Presiden Taiwan, Lai Ching-te berkata, beberapa agensi kerajaan telah diarah untuk membantu, termasuk kementerian kesihatan yang akan menyelaraskan sumber perubatan bagi merawat mangsa.
Lai juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat punca letupan secepat mungkin dan meminta orang ramai agar tidak menghampiri kawasan kejadian.
Taiwan pernah mengalami letupan gas yang dahsyat sebelum ini. Pada tahun 2014, beberapa letupan akibat kebocoran gas bawah tanah telah membunuh lebih 20 orang dan mencederakan ratusan lagi di bandar Kaohsiung, selatan Taiwan.
Letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan jalan utama berlubang besar dan kenderaan terbalik, malah sebuah kereta ditemui di atas bumbung bangunan tiga tingkat. – AGENSI
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!