PERSOALAN mengenai kedudukan ulama dalam politik sering dibangkitkan. Ada yang berpendapat bahawa ulama tidak perlu berpolitik untuk diiktiraf sebagai pewaris Nabi SAW.
Mereka berhujah dengan contoh ulama hadis, tokoh ilmuan al-Azhar, dan pemikir besar seperti Badiuzzaman Said Nursi dan Imam Muhammad Abduh yang dikatakan menjauhi politik tetapi tetap dihormati sebagai ulama besar. Lantas, mereka mempertikaikan pandangan bahawa ulama mesti berpolitik untuk menjadi pewaris Nabi SAW.
Namun, adakah hujah ini benar dan selari dengan prinsip Islam? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti semula maksud politik yang dikehendaki dan peranan sebenar ulama.
Maksud sebenar politik atau siasah
Politik atau siasah merupakan kaedah, proses dan cara mentadbir serta mengurus atau memimpin yang menjadi suatu keperluan dalam hidup bermasyarakat.
Allah SWT telah menetapkan manusia sebagai khalifah di muka bumi, seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً…
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…’” (Surah al-Baqarah ayat 30)
Khalifah bukan sekadar gelaran, tetapi suatu amanah yang diberikan kepada manusia dengan keistimewaan akal, ilmu, dan jasad yang tidak dimiliki oleh malaikat. Oleh itu, kepimpinan dalam Islam bukan hanya soal kuasa, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan adil dan berlandaskan syariat.
Para ulama menjelaskan bahawa konsep ‘khilafah’ seiring dengan ‘siasah’ (politik), yang bermaksud kepimpinan dan pentadbiran. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa umat terdahulu dipimpin oleh para nabi, tetapi selepas kewafatan baginda, tugas ini akan diteruskan oleh para khalifah:
كَانَتْ بَنُو إسْرائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ…
“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, mereka dipimpin (dan ditadbir) oleh para nabi…” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari 3455 dan Imam Muslim 1842)
Sejarah membuktikan bahawa para Rasul tidak pernah memisahkan dakwah daripada politik. Mereka berdakwah kepada para pemimpin dan raja, mengajak mereka beriman kepada Allah serta memimpin dengan petunjuk-Nya.
Bahkan, ada yang diangkat sebagai pemimpin seperti Zulqarnain dan Talut, serta nabi yang menjadi raja seperti Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Begitu juga para pengganti Rasulullah SAW yang dikenali sebagai ‘Khulafa’ al-Rasyidin’, mereka bukan sekadar tokoh ilmu tetapi juga pemimpin yang memikul tanggungjawab besar dalam mengurus umat.
Mengapa tiada seorang pun daripada mereka hanya sekadar berfokus kepada pengajian di masjid semata-mata? Ini kerana usaha mereka membuka wilayah Islam bukan sekadar perluasan geografi, tetapi satu jihad untuk menegakkan kuasa politik dan memastikan hukum Allah terlaksana di setiap wilayah yang dikuasai.
Ini membuktikan bahawa politik dalam Islam bukan sekadar soal perebutan kuasa, tetapi satu jalan menegakkan keadilan dan syariat di muka bumi.
Ulama sebagai pewaris Nabi SAW: Peranan yang menyeluruh
Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ
“Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi.” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud 3641)
Hadis ini menunjukkan bahawa ulama mewarisi tugas para Nabi. Namun, apakah tugas utama Nabi SAW? Baginda bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, tetapi juga memimpin umat, menegakkan keadilan, menyusun pentadbiran negara, dan memimpin peperangan. Pewarisan Nabi SAW bukan sekadar dalam ilmu, tetapi juga dalam kepimpinan dan pentadbiran.
Allah SWT telah berfirman:
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata, dan Kami turunkan bersama mereka Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (Surah al-Hadid ayat 25)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa nabi-nabi diutus bukan sekadar untuk menyampaikan ilmu, tetapi untuk menegakkan keadilan melalui sistem pemerintahan Islam.
Almarhum Sheikh Wahbah al-Zuhaili telah menjelaskan ayat ini bahawa wahyu yang diutuskan oleh Allah kepada para nabi adalah supaya manusia diajar untuk hidup dengan keadilan, berlandaskan petunjuk yang terkandung dalam kitab-kitab-Nya seperti Taurat, Injil, Zabur, dan al-Quran.
Neraca (الميزان) pada ayat ini pula merujuk kepada ukuran keadilan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, agar umat manusia dapat hidup dengan hak dan tanggungjawab yang seimbang dalam setiap aspek, baik agama mahupun sosial:
…وأنزلنا معهم الكتاب أي جنسه الشامل لكل كتاب سماوي كالتوراة والزبور والإنجيل والقرآن، وأنزلنا معهم الميزان، أي العدل في الأحكام، أي أمرناهم به، ليتبع الناس ما أمروا به من الحق والعدل، وتقوم حياتهم عليه، فيتعاملوا بينهم بالإنصاف في جميع أمورهم الدينية والدنيوية، فهم الحراس على تنفيذ الأحكام واحترام الشرائع واتباع الرسل.
(Kitab Tafsir al-Munir)
Oleh itu, ulama yang benar-benar mewarisi tugas nabi seharusnya mengambil peranan dalam memastikan politik Islam ditegakkan.
Adakah ulama yang tidak berpolitik bukan pewaris Nabi?
Ada yang berhujah bahawa: ramai ulama hadis dan tokoh ilmuan yang tidak aktif dalam politik, tetapi tetap dihormati sebagai ulama besar. Maka, tidak perlu ulama terlibat dalam politik untuk menjadi pewaris Nabi SAW.
Namun, pewarisan Nabi SAW bukan bermaksud semua ulama mesti terjun ke medan politik secara individu. Sebaliknya, mestilah ada sebahagian ulama yang mengambil tanggungjawab kepimpinan, sebagaimana konsep fardu kifayah dalam Islam.
Jika tiada ulama yang berpolitik dan membimbing pemerintahan, siapa yang akan memastikan Islam ditegakkan dalam pentadbiran negara?
Imam al-Ghazali telah menyatakan:
الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang”. (Kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad)
Peranan ulama dalam politik amat penting bagi menjaga agama daripada dihancurkan oleh sistem pemerintahan yang tidak berlandaskan syariat. Jika tiada ulama yang memainkan peranan politik, maka negara akan dipimpin oleh pemimpin yang jahil mengenai Islam.
Selingan: Benarkah Said Nursi dan Muhammad Abduh menolak politik?
Ada yang mendakwa bahawa: Almarhum Badiuzzaman Said Nursi dan Almarhum Imam Muhammad Abduh menolak politik, berdasarkan kata-kata mereka:
أعوذ بالله من الشيطان والسياسة
“Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik!” (Badiuzzaman Said Nursi)
أعوذ بالله من السياسة، ومن لفظ السياسة، ومن معنى السياسة
“Aku berlindung dengan Allah daripada politik, perkataan ‘politik’ dan makna ‘politik’.” (Imam Muhammad Abduh)
Sekilas pandang, seolah-olah mereka menolak politik sepenuhnya. Namun, jika diteliti konteks sebenar, mereka menolak politik sekular yang kotor, bukan politik Islam.
Konteks kalam Almarhum Badiuzzaman Said Nursi itu adalah sistem politik yang merosakkan di zaman Mustafa Kemal. Kemudian, jika beliau benar-benar membenci politik, mengapa beliau menyarankan anak-anak muridnya untuk menyokong Adnan Menderes dalam pilihan raya?
Seterusnya, Almarhum Imam Muhammad Abduh pula menolak politik dalam konteks Mesir yang dikuasai penjajah, tetapi beliau sendiri aktif dalam reformasi sosial yang bersifat politik.
Maka, kata-kata mereka tidak boleh diambil secara mutlak untuk menolak kepentingan politik dalam Islam.
Politik sebagai fardu kifayah: Tidak wajib bagi semua, tetapi wajib ada
Ada yang berkata bahawa: tidak semua orang mempunyai bakat dan kemahiran dalam politik, maka tidak perlu mewajibkan ulama untuk terlibat dalam politik.
Jawapan kita ialah: benar, tidak semua individu wajib terjun dalam politik, tetapi mesti ada ulama yang mengambil tanggungjawab ini sebagai fardu kifayah. Jika tiada, umat akan dipimpin oleh pemimpin yang tidak memahami Islam dan akhirnya negara akan dipenuhi kezaliman.
Allah SWT telah berfirman:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (Surah Ali ‘Imran ayat 104)
Ulama adalah sebahagian daripada kumpulan (أُمَّةٌ) ini. Jika mereka tidak mengambil peranan politik, siapakah yang akan menegakkan sistem Islam dalam pemerintahan?
Ini bertepatan dengan kata-kata Imam Said Hawwa. Beliau telah memberitahu bahawa tanpa kerajaan Islam, prinsip-prinsip Islam akan lemah, kerana ia bermula dengan terputusnya ikatan pemerintahan, seperti yang dinyatakan dalam hadis:
تنقض عرى الإسلام عروة عروة ، فأولها نقضا الحكم وآخرها الصلاة
“Ikatannya Islam akan terputus satu demi satu, dimulai dengan pemerintahan (hukum) dan diakhiri dengan solat.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad (36/485) 22160)
Ikatan-ikatan lain dalam Islam hanya mula terurai selepas terputusnya ikatan pertama, iaitu pemerintahan Islam. Selagi ikatan pertama ini kukuh, maka seluruh sistem Islam akan tetap teguh.
Oleh itu, kerana pemerintahan Islam adalah satu kewajipan, dan sesuatu kewajipan tidak akan sempurna tanpanya, maka menegakkannya menjadi fardu. Menegakkan kerajaan Islam bukan hanya kewajipan fardu kifayah (kewajipan yang ditanggung oleh sebahagian orang), tetapi ia menjadi fardu ain (kewajipan yang wajib bagi setiap individu Muslim) sehingga kerajaan Islam itu benar-benar diwujudkan:
وأخيراً نقول : إنه بلا حكومة إسلامية تكون عرى الإسلام في حالة نقض وفي الحديث : ( تنقض عرى الإسلام عروة عروة ، فأولها نقضا الحكم وآخرها الصلاة ) وما نقضت بقية عرى الإسلام إلا بعد أن نقضت العروة الأولى، إذا ما دامت العروة الأولى مستمسكة فإن عرى الإسلام كلها قائمة. وما دامت هذه كلها من الواجبات ولا تتم إلا بقيام الحكومة الإسلامية، فقد أصبح قيام حكومة الإسلام فرضا ، إذ ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب، والعمل من اجلها فريضة عينية على كل مسلم إذ أن فرض الكفاية يبقى فرض عين حتى يقوم .
(Kitab al-Islam)
Kesalahan logik dalam perbandingan dengan panglima perang dan hakim
Ada yang berhujah bahawa: jika ulama yang tidak berpolitik bukan pewaris Nabi SAW, maka ulama yang tidak menjadi panglima perang atau hakim juga bukan pewaris.
Ini adalah qias yang tidak tepat, kerana tugas politik adalah asas dalam kepimpinan Islam, sedangkan menjadi panglima perang atau hakim adalah peranan tambahan berdasarkan situasi:
– Ulama yang tidak menjadi hakim masih boleh membimbing hakim dengan fatwa mereka.
– Ulama yang tidak menjadi panglima perang masih boleh membimbing pemimpin tentera dengan ilmu jihad dan strategi Islam.
Namun, jika tiada ulama yang terlibat dalam politik, siapa yang akan memastikan negara ditadbir dengan syariat?
Kesimpulan: Ulama dan politik tidak boleh dipisahkan
Pewarisan Nabi SAW bukan sekadar menyebarkan ilmu di masjid atau madrasah, tetapi mencakupi tugas memimpin umat dan menegakkan Islam dalam pemerintahan.
Ulama yang tidak berpolitik masih mempunyai peranan dalam ilmu dan dakwah, tetapi ulama yang benar-benar mengikuti jejak Nabi SAW ialah mereka yang berani membawa Islam ke dalam sistem pemerintahan.
Sebagaimana kata Imam al-Mawardi:
الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
“Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah)
Bukan itu sahaja, menarik untuk dikongsikan terdapat tokoh-tokoh ulama sufi Melayu juga menekankan kepentingan politik dalam Islam. Misalnya, Almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, beliau pernah menjelaskan maksud menceraikan agama daripada siasah (politik) dan hukumnya melalui kitab beliau “Beberapa Mutiara yang Bagus lagi Indah”. Menurut Almarhum, pemisahan agama dan politik bermakna sesuatu kerajaan itu tidak terikat segala undang-undangnya dengan kaedah agama. Beliau merujuk daripada kitab ‘Mawqif al-‘Aql wa-al-‘Ilm wa-al-‘Alim’ tulisan Sheikhul Islam Mustafa Sabri. Adapun hukum memisahkan agama daripada politik pula, beliau berpendapat ia adalah haram kerana mendakwa ketiadaan lazim agama bagi hukumah (kerajaan).
Bahkan Almarhum Sheikh Wan Ahmad al-Fathani telah menekankan kewajipan umat untuk mempelajari ilmu politik dalam usaha menegakkan Islam, seperti yang terkandung dalam karya-karyanya seperti ‘al-Siyasah wa al-Tadbir’ dan beberapa karya lain. Beliau menggariskan beberapa matlamat utama ilmu politik, termasuk memastikan pemerintahan berjalan di atas landasan keadilan dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis, menyelesaikan pertelingkahan dengan pemikiran positif, serta membendung kesilapan pemerintah yang boleh memberi impak besar kepada umat Islam. Selain itu, ilmu politik juga dianggap penting untuk mengelakkan kemudaratan berpanjangan kepada umat Islam dan memastikan pemerintahan yang adil.
Konklusinya, ulama yang mengabaikan politik sebenarnya telah mengabaikan satu cabang besar dalam warisan kenabian. Intaha.
USTAZ ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin
12 Februari 2025 | 13 Syaaban 1446H – HARAKAHDAILY 12/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!