KOTA BHARU: Hubungan Kelantan dan wilayah Selatan Thailand, Narathiwat terus diperkukuhkan menerusi penganjuran sukan muhibah dijangka diadakan pada Mei tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, satu perbincangan diadakan antara kedua-dua belah pihak di sini semalam.
“Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan penganjuran Sukan Muhibah antara Kelantan dan Narathiwat yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei nanti.
“Perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra, di mana kedua-dua pihak berkongsi pandangan acara sukan yang akan dipertandingkan, lokasi, serta penyertaan atlet,” katanya.
Dalam satu perkongsian di laman sosial Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu menerima kunjungan hormat rombongan rasmi dari Narathiwat, semalam.
Ia diketuai Presiden Kebudayaan Narathiwat, Mano Wariwanich, bersama, Anant Matming dan Pakrurazee Saleh serta Pegawai Sukan Narathiwat, Sitthichote Dueramae.
Zamakhshari berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan penganjuran sukan tersebut, malah menyatakan komitmen penuh bagi menjayakan aktiviti rentas sempadan itu.
Menurutnya, ia bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan baik antara rakyat Kelantan dan Narathiwat yang telah terjalin sekian lama.
“Selain membincangkan mengenai sukan, kami turut bertukar pandangan mengenai budaya dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.
“Saya berharap agar perbincangan ini dapat diterjemahkan ke dalam tindakan dan Sukan Muhibah ini menjadi acara tahunan yang mengukuhkan hubungan Kelantan dan Narathiwat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!