Pertimbang naik kadar bayaran Tabung Bencana Pertanian

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta kerajaan menyatakan hasrat meningkatkan kadar bayaran dalam Tabung Bencana Pertanian.

- Advertisement -

Beliau berkata langkah tersebut sebagai salah satu persediaan menghadapi cabaran cuaca yang tidak menentu termasuk banjir dan kemarau melampau yang menjejaskan sektor pertanian.

“Saya sangat simpati nasib pesawah yang mengalami kerugian demi kerugian, apakah kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menaikkan kadar bayaran dalam tabung ini.

“Hal ini supaya dapat diberikan perhatian secara serius wujudnya tabung ini bagi menampung kos pengeluaran seperti padi dan tanaman terjejas perubahan iklim,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata tempoh 2025 sehingga 2030 merupakan tahun sangat mencabar bagi keterjaminan makanan.

Malah, katanya Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) pernah mengeluarkan amaran dalam tempoh tersebut perubahan cuaca akibat fenomena El Nino dan La Nina.

Beliau turut memetik maklumat Bank Negara Malaysia mendedahkan pada tahun 2021, nilai kerugian yang dialami oleh sektor pertanian akibat cuaca melampau mencecah RM3.1 bilion.

Media sebelum ini juga melaporkan beberapa negeri di utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan bakal berhadapan cuaca panas dan kering bermula bulan ini sehingga Mei. – HARAKAHDAILY12/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -