Isu Gaza: Notis usul sidang tergempar wajar diterima

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menerima usul yang dikemukakan oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) supaya memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan krisis Tebing Barat.

- Advertisement -

Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata langkah itu bagi mengecam rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.

“Saya menyokong usul dibawa oleh Machang supaya perkara ini dapat kita bahas dalam Parlimen kerana ancaman ini sangat besar ancamannya kepada umat Islam khususnya di Gaza.

“Tambahan pula, Sabtu ini adalah tempoh akhir HAMAS membebaskan semua tahanan, kalau tidak Gaza akan jadi seumpama neraka,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan rakyat, hari ini.

Timbalan Presiden PAS berkata lagi, ketika ini negara mempunyai peluang yang sangat baik bagi memperjuangkan serta menyatakan solidariti rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Apatah lagi kata beliau, Malaysia dilantik sebagai pengerusi Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025 mampu memainkan peranan yang lebih baik dalam persoalan itu.

“Kita bukan sahaja melihat dan kebetulan Malaysia jadi pengerusi ASEAN perlu ambil kesempatan untuk mengerakkan semua negara Islam OIC dan G8 untuk turut serta sokongan ini.

“Kerajaan boleh buat bukan sahaja perhimpunan sebaliknya mengambil tindakan secara diplomatik sama ada menyampaikan nota bantahan kepada kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan notis usul sidang tergempar Parlimen yang dikemukakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ia merupakan notis kelima usul berkaitan krisis Tebing Barat yang dihantar sejak tahun lalu yang ditolak bagi membahaskan mengenai sokongan negara terhadap perjuangan Palestin. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!