ALOR SETAR: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan agar memainkan peranan sebaiknya sebagai pembangkang di Kedah, sekiranya benar-benar mahu menjadikan pakatan itu ‘kerajaan menanti’ pada pilihan raya akan datang.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Azhar Ibrahim berkata, Saifuddin selaku menteri yang diberi amanah sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) di Kedah, amat wajar beliau memainkan peranannya membantu rakyat negeri ini.
“Sebagai parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan, banyak ruang untuk mereka bantu rakyat Kedah, khususnya dalam bidang pembangunan dan pertanian.
“Elok juga beliau memainkan peranan secara serius untuk menyegerakan kelulusan pembinaan lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), mempercepatkan kelulusan Notis Perubahan (NOC) bagi pembelian tanah untuk Fasa 5 di Kulim Hi-Tech.
“(Dan) juga mendesak agar isu harga padi ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Persekutuan,” tegas beliau kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam turut berkata, PAS mengalu-alukan hasrat PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi pembangkang terbaik di Kedah.
Namun ujarnya, untuk menjadi ‘kerajaan menanti’, PH-BN perlu bekerja keras menawan sekurang-kurangnya 16 kerusi pada pilihan raya akan datang, sekiranya mahukan impian itu menjadi kenyataan.
“Untuk bercita-cita itu adalah hak mereka, cuma mereka mesti mencari 16 kerusi lagi untuk capai cita-cita itu. Sebelum PRN15 dahulu pun mantan Pengerusi PH Kedah, Dato’ Mahfuz Omar pun sebut, PH hanya perlu kerja tiga kerusi untuk tumbangkan Perikatan Nasional (PN) tetapi gagal.
“Jadi kali ini nampaknya Pengerusi PH Kedah yang baharu, kena berkerja lebih kuat lagilah,” kata beliau.
Semalam, Saifuddin pada kenyataan di Sungai Petani membayangkan PH-BN khususnya di Kedah sedang mempersiapkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi PH Kedah pada 7 Februari lalu berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan berkenaan langkah memposisikan pakatan tersebut sebagai pembangkang yang boleh dipercayai dan efektif.
“Kerana di Kedah ini, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai PH dan BN adalah pembangkang, manakala Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan tapi pada masa sama kami akan mempersiapkan diri untuk menjadi ‘goverment in waiting’,” katanya.
Walau bagaimanapun, tegas Azhar, PAS dan PN tidak semudahnya membiarkan PH kembali bertapak di Kedah.
Sebalik katanya, bertekad untuk mempastikan mana-mana parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PH sekarang ini, akan berpihak kepada PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.
“Malah PAS sendiri telah memulakan gerak kerja mempertahankan kemenangan PN Kedah sejak dua tahun lalu lagi. – HARAKAHDAILY 12/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!