Hampir 1,000 murid terima bantuan set persekolahan

DUN Tanjung Mas dan DUN Temangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hampir 700 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas menerima sumbangan baucer bantuan peralatan sekolah untuk sesi awal persekolahan nanti.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim berkata, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Selama 35 tahun, dasar ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri dan kita tidak pernah ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Hari ini, hampir 700 keluarga di DUN Tanjung Mas menerima baucer bernilai RM100 untuk pembelian peralatan persekolahan bagi sesi akademik 2025 yang bakal bermula tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, meskipun nilai sumbangan berkenaan tidak besar, tetapi diharapkan mampu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Baucer Peralatan Persekolahan 2025 peringkat DUN Tanjung Mas di Dewan Terbuka Maahad Muhammadi Lelaki, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi golongan armalah dan anak yatim di setiap DUN telah meningkat secara berperingkat sejak tahun 2006.

“Pada tahun 2006 peruntukan untuk armalah dan anak yatim hanya berjumlah RM40,000 bagi setiap DUN tetapi kini alhamdulillah jumlah itu telah meningkat kepada RM120,000, sekali gus membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

“Peningkatan jumlah peruntukan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri terus komitmen dalam menjaga kebajikan rakyat sejajar dengan dasar MBI.

“Manakala kini ianya diperkukuhkan lagi menerusi pendekatan ‘Penghayatan MBI’, iaitu menjiwai serta melaksanakan tuntutan Islam dalam pentadbiran,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri.

Di MACHANG, Sebanyak 300 kupon set pakaian sekolah diagihkan kepada penduduk memerlukan bagi membantu menghadapi sesi persekolahan yang bakal dibuka pertengahan bulan ini.

ADUN Temangan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, majlis itu bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu ditunaikan.

“Sepasang uniform itu mungkin bagi kita sekadar kain tetapi bagi mereka, itulah tanda impian untuk belajar tanpa rasa terasing. Impian untuk berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan.

“Alhamdulillah semalam saya telah menyerahkan 300 kupon set pakaian sekolah, ini bukan sekadar acara tahunan tetapi sebuah amanah yang kami cuba laksanakan,” katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Machang dalam satu hantaran Facebook semalam berkata, pihaknya sentiasa berusaha bagi memenuhi permintaan keluarga tidak bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Menurut beliau, sebagai negeri yang amat mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, usaha itu tetap dilaksanakan, biarpun tidak dapat memenuhi seluruh harapan.

“Kami sedar, tidak mampu memenuhi segala keperluan yang ada, namun jika dapat meringankan beban rakyat walaupun secebis, itu sudah menjadi satu kelegaan buat kami.

“Usaha kecil ini akan diteruskan bukan kerana kami memiliki segala-galanya tetapi kerana kami percaya bahawa kebersamaan dalam membantu itu lebih bermakna,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 11/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!