MB sanjung jiwa pendidik para pesara YIK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar merakamkan kata-kata penghargaan kepada bekas tenaga pengajar dan pesara kakitangan Yayasan Islam Kelantan (YIK) kerana berjaya menubuhkan Persatuan Pesara YIK.

- Advertisement -

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin berkata, meskipun sudah menamatkan perkhidmatan secara rasmi, namun jiwa sebagai seorang pendidik masih wujud dalam diri setiap ahli persatuan terbabit.

Beliau berkata, penubuhan persatuan serta mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini telah menzahirkan langkah penting kerajaan negeri dalam menghargai jasa dan memperkukuhkan kebajikan golongan tersebut.

“Saya harapkan jasa dan khidmat bakti ini dapat diteruskan melalui persatuan ini dengan perkongsian idea, pengalaman dan kepakaran dalam pendidikan disamping sebagai platform kebersamaan antara ahli.

“Saya tegaskan agar para pesara terus menyumbang bakti kepada masyarakat dengan mengajar dan menyebarkan kefahaman Islam di tempat masing-masing,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menyempurnakan penubuhan serta merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama Persatuan Pesara YIK di Dewan Utama YIK Bandar Baharu Tunjong di sini.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman.

Persatuan Pesara YIK menandakan satu langkah penting kerajaan negeri dalam menghargai jasa serta memperkukuhkan kebajikan pesara Yayasan Islam Kelantan dan mengeratkan silaturahim dikalangan ahli. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!