SELAYANG: Syarikat pengendali umrah, Mantop Travel & Tours dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia (CGM) hari ini melancarkan kempen kemanusiaan bertajuk ‘Jom Bina Semula Gaza’.
Kempen itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu membangunkan semula infrastruktur asas serta menyediakan keperluan penting kepada penduduk Gaza yang terkesan akibat konflik yang berpanjangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Mantop Travel & Tours, Ustaz Mohd Farhan Madzlan, berkata sebahagian daripada keuntungan syarikat akan disalurkan ke Tabung Bina Semula Gaza yang dikendalikan oleh CGM.
“Kami percaya ibadah umrah bukan sekadar perjalanan spiritual tetapi satu peluang untuk menyumbang kepada ummah.
“Dengan setiap penyertaan dalam pakej baharu umrah ini, jemaah bukan sahaja dapat menunaikan ibadah dengan selesa, malah menjadi sebahagian daripada usaha membina semula kehidupan rakyat Palestin di Gaza,” katanya pada Majlis Pelancaran Pakej Mantop Travels & Tours 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman; Pengerusi Mantop Travel & Tours, Zaidy Abdul Talib dan Duta Syarikat Mantop Travel & Tours, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin serta Ahli Lembaga Pengarah Mantop Travel & Tours, Ustaz Mohd Fauzan Madzlan dan Naib Setiausaha One Nation, Ustaz Ubaid Abdul Akla.
Menurut Farhan, pakej baharu Umrah yang diperkenalkan Mantop Travel & Tours menawarkan pengalaman ibadah yang lebih eksklusif dan selesa, selain membawa misi kemanusiaan Bina Semula Gaza pasca peperangan.
Sebagai simbolik kepada komitmen syarikat terhadap kempen itu, Mantop Travel & Tours turut menyerahkan ‘mock cheque’ bernilai RM100,000 kepada pihak CGM.
“Ini adalah sumbangan awal hasil daripada sebahagian keuntungan syarikat dan pelanggan yang menyokong usaha murni ini. Kami berharap kempen ini mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Kempen ‘Jom Bina Semula Gaza’ menurutnya, diharapkan mampu menjadi langkah kecil yang membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk Gaza yang terjejas. – HARAKAHDAILY 10/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!