‘Apo Kobar Pok Tani’ bantu tingkat hasil pertanian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi meneruskan program Apo Kobar Pok Tani Agro Al-Falah (KAPOK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong.

- Advertisement -

Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam satu hantaran di Facebook hari ini menjelaskan program itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri bagi memberi sokongan dan bimbingan.

Malah kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri menyediakan Pelan Strategik 2024-2028 dengan memberi tumpuan memperkasa aktiviti pertanian di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

“Alhamdulillah hari ini saya merasmikan program KAPOK yang diadakan bagi DUN Tendong, diadakan bersama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.

“Program ini merupakan satu lagi inisiatif untuk memperkasakan para petani dengan sokongan dan bimbingan berterusan,” katanya pada majlis yang turut dihadiri ADUN Tendong, Rozi Muhamad.

Seramai 200 anak pokok mangga dari spesis Harum Manis dan baja organik diagihkan kepada 100 peserta pada majlis yang diadakan di Dewan Pengawa Daerah Bunut Susu, Pasir Mas dekat sini.

Tuan Mohd Saripudin yang juga ADUN Selising berkata, penyerahan tersebut diharap dapat memberi peluang untuk meningkatkan hasil tanaman selain menjana pendapatan lebih baik.

Rombongan kerajaan negeri turut dibawa melihat serta meninjau perkembangan penternakan lembu di Ladang Ternakan Lembu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gelang Mas.

Selain mengadakan sesi dialog bersama golongan penternak, Exco Kerajaan Negeri itu turut menyampaikan sumbangan RM15,000 menaik taraf kandang ternakan bagi memperkukuhkan sektor penternakan.

Sebelum ini program KAPOK diadakan bagi peringkat DUN Pulai Condong membabitkan 77 peserta yang menerima bantuan baja sebanyak 267 beg dan taklimat penggunaan dan kebaikan baja kompos. – HARAKAHDAILY 10/2/2025


Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!