YM meterai MoU tubuh Food Bank Rantau Panjang

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Yayasan Muhibbah (YM) dan Parlimen Rantau Panjang (PRP) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Food Bank Rantau Panjang.

- Advertisement -

Majlis perjanjian itu masing-masing ditandatangani Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mewakili Parlimen Rantau Panjang dan Dr Lo Nyok Mooi, mewakili Yayasan Muhibbah.

MoU itu dibuat sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan untuk mendapatkan bekalan makanan khususnya harian secara percuma.

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Pejabat Parlimen Rantau Panjang dan turut dihadiri pemimpin masyarakat.

Menurut Zailah, Food Bank ini bakal menjadi pusat penyimpanan dan pengagihan makanan yang lebih sistematik bagi membantu komuniti terjejas akibat bencana serta cabaran ekonomi.

Katanya, antara objektif utama penubuhan Food Bank ini ialah menyediakan bantuan makanan kepada golongan seperti ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), keluarga miskin, dan asnaf.

Menurutnya, selain itu ia juga berperanan sebagai pusat simpanan makanan kecemasan khususnya bagi menghadapi situasi bencana seperti banjir yang kerap melanda Rantau Panjang.

“Food Bank ini bukan sahaja untuk membantu mereka yang terkesan akibat bencana, tetapi juga sebagai satu usaha berterusan dalam mengurangkan pembaziran makanan serta memastikan pengagihan yang lebih seimbang dan adil,” katanya lagi.

Selain menyediakan bantuan secara berkala, Zailah menambah, inisiatif ini juga diharap dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta menggalakkan penyertaan syarikat korporat dan NGO dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai serta badan korporat turut  menyumbang bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Katanya, sumbangan berbentuk makanan asas, dana kewangan, tenaga sukarelawan dan peralatan penyimpanan makanan turut diterima.

Sementara itu bagi mereka yang berhajat untuk membantu, pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pihak YM dengan menghubungi talian 019 544 6688 atau 019 267 0609. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!