KOTA BHARU: Stadium Sultan Muhammad IV mula beroperasi dengan perlawanan antara Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Penang FC menjadi aksi pertama.
Stadium Sultan Muhammad IV mula digunakan setelah kerja baik pulih yang bermula pada bulan Ogos tahun lepas siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kerja baik pulih stadium itu selesai sepenuhnya dan kini boleh digunakan seperti biasa.
“Stadium Sultan Muhammad IV kembali beroperasi sejak 13 Januari lalu, perlawanan antara KDN FC dan Penang FC menjadi aksi pertama di gelanggang ini selepas kerja baik pulih dijalankan sejak Ogos lalu.
“Bagi tahun 2025, beberapa tandas di ruang pintu masuk penonton akan dinaik taraf menggunakan peruntukan stadium. Kerja naik taraf ini dijangka bermula Mei depan dengan kos RM500,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zamakhshari berkata, naik taraf tandas penting bagi menampung keperluan kira-kira 18,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak dan pelbagai program lain yang diadakan di stadium berkenaan.
“Keadaan tandas ketika ini agak daif dan kurang sesuai untuk kegunaan penonton. Oleh itu, usaha naik taraf ini amat diperlukan bagi meningkatkan keselesaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerja baik pulih di stadium itu merangkumi pemasangan longkang, paip serta baik pulih padang. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!