KUALA TERENGGANU: Pelbagai dakwaan negatif terhadap negeri Terengganu tidak menggugat keyakinan rakyatnya untuk terus menyumbang kepada ekonomi negara melalui sektor pertanian, perikanan dan sumber asli.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gambaran buruk yang cuba diberikan tidak mencerminkan realiti sebenar di negeri ini.
“Terengganu sedang melalui sebahagian dari mehnah yang pernah dilalui oleh Kelantan pada awal 90-an. Digambarkan dengan pelbagai gambaran negatif sehingga ada saudara-mara dari luar membawa beras kerana bimbang mereka tiada makanan.
“Tetapi apabila sampai, mereka dapati beras di Kelantan lebih baik daripada yang dibawa. Sekarang Kerajaan Terengganu cuba dimomokkan gagal segala-galanya sedangkan orang di sini relaks sahaja (tiada masalah),” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.
Beliau berkata, sektor pertanian negeri ini terus menunjukkan peningkatan dengan Terengganu menjadi antara pembekal terbesar tembikai dan keledek di Malaysia.
Tambahnya, kilang padi Terengganu turut mengeluarkan beras yang dibeli oleh syarikat pembungkus dari selatan tanah air, menjadikannya sebahagian daripada rantaian bekalan makanan negara.
“Kita juga antara pembekal utama hasil akuakultur ikan air payau seperti siakap dan kerapu hibrid. Insya-Allah selepas ini Terengganu bakal muncul pembekal lada hitam terbesar negara apabila 600 hektar ladang di Lembah Bidong beroperasi sepenuhnya,” ujar beliau.
Beliau berkata, perairan Terengganu membekalkan sumber tangkapan ikan marin bukan hanya kepada nelayan Terengganu malah juga kepada nelayan Pahang dan Johor Timur.
“Taman Laut Terengganu adalah penyumbang utama kepada sumber kewangan Tabung Amanah Taman Laut Malaysia yang digunakan untuk penyelenggaraan pulau-pulau taman laut seluruh negara,” katanya.
Lebih menarik, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, negeri itu turut menyumbang hasil berbilion ringgit menerusi kira-kira 120 pelantar minyak dan gas yang beroperasi di perairan Terengganu. – HARAKAHDAILY 9/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!