As-Sabiqun Selangor isyaratkan peranan tanpa henti

- Advertisement -

GOMBAK: Hari Sidang As-Sabiqun Selangor 2.0 telah dihadiri hampir 400 peserta dari PAS Kawasan seluruh negeri ini yang berlangsung di Dewan Cataleya Glass Hall, Batu Caves, di sini semalam.

- Advertisement -

Program ini bertujuan memperkukuhkan peranan As-Sabiqun sebagai tunjang pengalaman PAS dalam usaha menggerakkan penyatuan ummah dan meningkatkan sokongan politik akar umbi.

Selain ia menjadi medan mempertemukan golongan veteran dalam PAS untuk memperkukuhkan lagi ukhuwah dan meneruskan perjuangan Islam hingga ke penghujung hayat.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk tetamu kehormat yang diiringi selawat, diikuti alunan lagu Negaraku dan lagu PAS, serta bacaan ayat suci al-Quran dan doa.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Ismail Mohammad yang menegaskan kepentingan peranan golongan veteran PAS dalam meneruskan perjuangan parti.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang mewakili Pesuruhjaya PAS Selangor dan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Selangor, Prof Dr Hamirdin Ithnin.

Selain Pengarah Pilihan Raya Sidang As-Sabiqun Selangor merangkap Pengarah Program, Azizan Md Ali dan Setiausaha Sidang As-Sabiqun Selangor, Mohd Noor Nasharuddin.

Juga Ketua Penerangan Sidang As-Sabiqun Selangor, Kasiran Ikhsan; dan Pengerusi Assabiqat Kelantan, Rahimah Husin dengan majlis dipengerusikan oleh Robaayah Mohd Ghazali.

Sebagai sebahagian daripada program, enam Ketua As-Sabiqun dari enam Anjung di Selangor turut menyampaikan perbahasan iaitu Timur, Tenggara, Tengah, Barat, Utara dan Selatan.

Turut diadakan, sesi soal jawab antara As-Sabiqun dan As-Sabiqat bagi membincangkan pelbagai isu semasa dan peranan mereka dalam memperkukuh perjuangan parti.

Sebagai tanda penghormatan, program menyaksikan pengumuman lima penerima anugerah Jasawan (As-Sabiqun) dan lima penerima anugerah Jasawati (As-Sabiqat) atas jasa serta sumbangan mereka dalam perjuangan PAS.

Selain itu, program juga mengisytiharkan Tokoh As-Sabiqun dan As-Sabiqat Selangor 2024, sebagai pengiktirafan tertinggi kepada individu yang telah banyak berjasa kepada PAS di negeri ini.

Program itu turut menjadi wadah penting dalam menghargai pengorbanan serta peranan golongan veteran dalam perjuangan Islam dan politik tanah air.

Pada majlis itu juga, seramai 10 individu dalam kalangan Jasawan dan Jasawati yang mewakili enam Anjung PAS di Selangor telah diberikan anugerah pada satu sesi khas.

Suruhanjaya Penilaian Jasawan Jasawati, Norehan Abdul Manaf, berkata penganugerahan itu berdasarkan penilaian penulisan mereka mengenai sebab menyertai PAS serta titipan pesanan kepada para panel.

“Markah diberikan berdasarkan cara mereka menulis serta impak pesanan mereka kepada para panel. Adakah menyentuh kalbu kepada para panel kita? Adakah ia sederhana biasa atau biasa sahaja?

“Penilaian ini dibuat dengan teliti sebelum diangkat dalam satu ranking khas,” katanya menjelaskan kriteria tersebut sebelum pengumuman penganugerahan tersebut.

Antara Jasawan yang terpilih adalah Mohd Suhaimi Mohd Long daripada Gombak; Meor Rithuan Mohd Said (Pandan); Dr Che Rosli Che Mat (Bangi); Kasiran Akhsan (Subang); dan Mohd Yusoff Ibrahim (Klang).

Selain itu, anugerah Jasawati pula adalah kepada Marsunah Jemain dari Tanjong Karang; Rosnah Hassan (Ampang); Basmatul’uyun Yusof (Pandan); Norzaihan Ismail (Puchong); dan Siti Aishah Mohd Ali (Subang).

Sementara itu, penganugerahan Tokoh As-Sabiqun PAS Selangor 2024 Jamuliddin Elias yang juga merupakan Timbalan Pengarah 5, Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor.

Manakala Tokoh As-Sabiqat PAS Selangor 2024 diterima Ketua Sidang As-Sabiqun PAS Gombak, Khadijah Mahmud. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!