KOTA BHARU: Pusat Perubatan An-Nisa’ dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Tanjung Mas, Kompleks Masjid Raudhatul Sakinah serta rakan strategik telah menganjurkan Advokasi Mamogram bertemakan ‘Wanita Sihat, Keluarga Sejahtera’.
Lebih 300 peserta hadir pada program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri, Rohani Ibrahim yang dianjurkan di Masjid Raudhatul Sakinah, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Zamri Ismail dan wakil agensi kerajaan serta swasta.
Rohani ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, program ini bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan wanita, khususnya mamogram dalam pencegahan kanser payudara.
Beliau turut menekankan kepentingan pemeriksaan mamogram secara berkala sebagai langkah awal mencegah kanser payudara.
“Saya berharap delepas ini lebih ramai kaum wanita mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan keluarga. Ia amat penting dalam menjaga kesihatan diri dan krluarga di peringkat awal,” ujarnya lagi.
Antara aktiviti utama pada program kesihatan wanita dan keluarga ini ialah Bicara Kesihatan oleh pakar perubatan, pameran kesihatan, serta pemeriksaan kesihatan percuma bagi peserta.
Program ini juga menyediakan perkhidmatan derma darah dan ujian saringan kanser payudara secara percuma bagi meningkatkan kesedaran wanita tentang kepentingan pemeriksaan awal. – HARAKAHDAILY 9/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!