PARIT: Pusat Khidmat (PKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, terus menjadi penghubung wakil rakyat dalam mengendalikan pelbagai hal ehwal masyarakat dan penduduk setempat.
Walaupun, DUN Bota diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) di Perak, tetapi sering menjadi pilihan penduduk untuk mendapatkan khidmat.
ADUN Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad sentiasa mendedikasikan khidmat diberikannya dengan adil dan sebaik mungkin, walaupun dalam keadaan dana yang terhad.
Bukan setakat sumbangan kebajikan dihulurkan kepada golongan memerlukan, malah sebagai seorang doktor, beliau turut mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma pada program ziarah di lapangan.
PKD tersebut yang terletak di Taman Bota Sejahtera, Pekan Bota Kanan, di sini juga kerap menerima aduan dari rakyat berkenaan isu-isu setempat.
Contoh baru-baru ini, PKD Bota menerima aduan berkenaan bahan dipercayai najis khinzir tumpah di jalan dan mengakibatkan bau yang busuk.
Pada kejadian di Kampung Khucai, Bota Kiri itu, tayar lori membawa bahan tersebut, pancit dan mengakibatkan bahan diangkutnya, tumpah.
Tindakan pantas ADUN Bota dan kakitangan PKD tersebut menghubungi pihak berkenaan dan dalam tempoh tidak sampai enam jam, tumpahan itu dapat dibersihkan.
Pendekatan khidmat tanpa mengira batasan fahaman politik dan kaum itu, secara tidak langsung mendekatkan masyarakat dengan Dr Najihah dan kakitangannya.
“Kita beri khidmat semampu yang boleh walaupun PN di Perak sebagai pembangkang, tetapi tetap juga beri yang terbaik,” kata beliau.
Sementara PKD Bota juga turut mengadakan program Hari Bertemu Rakyat sebelum ini, untuk mengimarahkan pusat tersebut dan menjalin ukhuwah bersama masyarakat.
Dalam pada itu, pejabat PKD Bota yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, juga bersedia menerima sebarang pandangan untuk penambahbaikan.
Komitmen itu di samping terus menjadi penghubung antara masyarakat dan wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 8/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!