KUANTAN: PAS Negeri Pahang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam transaksi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menyebabkan kerugian besar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pencarum.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan menyifatkan tindakan kerajaan sebagai ‘perampokan berkelas tinggi’ apabila saham MAHB dijual pada harga RM5 hingga RM6 tetapi dibeli semula pada harga RM11, mengakibatkan kerugian hampir RM700 juta.
“Rasa kesal bercampur marah, kami terpaksa mempersoalkan ‘kebijaksanaan’ kerajaan dalam skandal MAHB ini. Nampaknya, slogan ‘Madani’ hanya indah di bibir tetapi busuk di dalam apabila wang pencen rakyat boleh diboroskan dengan begitu mudah.
“Alangkah ‘pandainya’ strategi pelaburan KWSP di bawah kerajaan ini dengan jual murah RM5 hingga RM6, beli mahal RM11. Rugi hampir RM700 juta wang rakyat dalam sekelip mata!
“Inilah agaknya yang dipanggil ‘transformasi ekonomi’ ala ‘Madani’ kerana tukar duit rakyat kepada poket kroni?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Beliau turut mempersoalkan pendirian kerajaan dalam isu Palestin bahawa bersikap hipokrit dengan mengutuk Israel secara terbuka tetapi pada masa yang sama membuka ruang kepada kepentingan pro-Israel melalui transaksi MAHB.
“Lebih menghairankan apabila kerajaan yang gemar melaung-laungkan sokongan untuk Palestin, dengan senyap-senyap membuka pintu kepada kepentingan pro-Israel.
“Di pentas antarabangsa berapi-api mengutuk Israel, tetapi di belakang senyum simpul dengan sekutu mereka. Hipokrasi tahap ‘Madani’ Kehadiran ‘Co-Perdana Menteri’ dalam pentadbiran negara kini semakin jelas? Siapakah sebenarnya yang membuat keputusan dalam negara ini?
“Sedangkan lima ahli Lembaga Pengarah Bebas MAHB sendiri membantah keras keputusan ini, tetapi seakan ada ‘kuasa ghaib’ yang menentukan segala-galanya,” katanya.
Tambah beliau, KWSP kononnya menjaga kepentingan 16 juta pencarum, tetapi hari ini sanggup menggadai masa depan mereka dengan keputusan yang mencurigakan ini.
“Rakyat tertanya-tanya, berapa banyak lagi skandal sebegini yang akan tersembunyi di sebalik tabir ‘Madani’?” soalnya.
Justeru, PAS Pahang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera agar semua kebenaran terungkai.
“Kepada rakyat Malaysia, inilah realiti pentadbiran ‘Madani’ yang indah moto di corong mulut, pahit hasilnya di perut rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!