Gesa kerajaan ambil langkah konkrit bela nasib pesawah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan mengambil langkah konkrit demi membela nasib petani dan pengilang Bumiputera yang semakin terhimpit berhubung harga kawalan beras putih.

- Advertisement -

Ia selepas penutupan kilang Dibuk Sdn Bhd yang juga kilang Bumiputera terbesar di Perlis selepas 57 tahun beroperasi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya kecewa dan dukacita terhadap penutupan kilang berkenaan.

“Penutupan ini bukan sekadar kehilangan sebuah kilang, tetapi merupakan tamparan hebat kepada lebih 10,000 petani serta 78 pekerja yang bergantung kepada industri ini untuk meneruskan kehidupan.

“Kerajaan Madani seharusnya melihat isu ini sebagai satu kegagalan besar dalam melindungi kepentingan pengilang dan petani Bumiputera yang kini berdepan dengan tekanan kos yang melambung tinggi.

“Hakikat bahawa hanya sembilan daripada 127 kilang Bumiputera sejak 1998 yang masih bertahan jelas membuktikan dasar yang sedia ada tidak membantu pemain industri tempatan.

“Sebaliknya memberi kelebihan kepada syarikat besar yang menguasai pasaran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam kenyataan di media sosial.

Mengulas lanjut, Pemuda PAS Malaysia juga menegaskan bahawa dasar kawalan harga beras putih tempatan yang tidak dikaji semula sejak 16 tahun lalu telah membebankan industri tempatan.

“Pada masa yang sama, kerajaan membiarkan harga beras import terapung tanpa kawalan, membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan besar melalui manipulasi pasaran.

“Ini mencipta ketidakseimbangan yang membunuh pengusaha tempatan secara perlahan-lahan.

“Lebih membimbangkan, tindakan membenarkan pusat belian padi berlesen dalam lingkungan 20 kilometer dengan kilang hanya menguntungkan pihak tertentu yang menjadi orang tengah kepada syarikat besar, sekaligus menekan pengilang kecil seperti Dibuk Sdn Bhd,” katanya.

Menurut Afnan lagi, Pemuda PAS Malaysia juga menuntut kerajaan segera mengambil tindakan drastik bagi menangani masalah itu.

“Kami harap kerajaan menstruktur semula dasar kawalan harga beras putih tempatan agar selaras dengan peningkatan kos operasi pengilang dan petani serta mengenakan kawalan harga ke atas beras import bagi memastikan persaingan yang lebih adil dalam industri ini.

“Menghentikan pengeluaran lesen pusat belian padi dalam radius 20 kilometer dari kilang Bumiputera bagi mengurangkan monopoli syarikat besar dan memberi ruang kepada pengilang kecil bernafas.

“Memastikan penguatkuasaan lebih ketat terhadap manipulasi beras tempatan yang dijual sebagai beras import, satu taktik yang jelas merugikan industri tempatan.

“Salurkan bantuan kewangan dan subsidi bersasar kepada kilang padi bumiputera yang masih bertahan supaya mereka tidak terus gulung tikar,” katanya.

Afnan turut mengingatkan Kerajaan Madani supaya tidak terus membisu dan membiarkan pengusaha Bumiputera terkapai-kapai dalam gelombang persaingan yang tidak adil.

“Jika isu ini tidak ditangani segera, kita akan melihat semakin banyak kilang padi Bumiputera ditutup, membawa kepada kehilangan pekerjaan dan ketidakstabilan ekonomi luar bandar.

“Pemuda PAS Malaysia akan terus bersuara dan memastikan isu ini mendapat perhatian serius,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kilang padi Bumiputera terbesar di Perlis yang sudah beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal ‘gulung tikar’ kerana menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Insiden itu akibat tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi walaupun harga beras masih rendah. – HARAKAHDAILY 8/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!