Isu beras tempatan dan padi serlah kerajaan gagal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu bekalan beras tempatan dan harga padi terus menjadi perbincangan hangat tanpa penyelesaian yang konkrit, meskipun Kerajaan Madani telah lama mengambil alih pemerintahan negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata demikian disebabkan bekalan beras tempatan masih berkurangan meskipun kawasan sawah tetap subur.

Beliau turut menegaskan bahawa masalah lain yang timbul adalah harga padi rendah dan tidak membantu pesawah dan petani meningkatkan pendapatan mereka.

“Bukan sahaja bekalan beras tempatan semakin menghilang, malah kini timbul pula isu kartel yang memonopoli pasaran beras.

“Masalah seperti ini tidak berlaku ketika pemerintahan terdahulu, meskipun ketika itu negara berdepan dengan cabaran besar seperti pandemik Covid-19 dan kekurangan bekalan makanan global.

“Kini, pasca pandemik Covid-19 yang sepatutnya membawa pemulihan, rakyat Malaysia sebaliknya semakin terhimpit,” katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, Abu Irfan menggesa kerajaan supaya menerima cadangan pembangkang dan mendengar keluhan petani serta pesawah.

“Kerajaan perlu mengambil kira peningkatan kos pengurusan, harga baja, serta kos penggunaan jentera yang semakin tinggi. Jika harga padi masih di tahap lama, golongan pesawah akan terus dihimpit kesusahan,” katanya.

Menurut beliau, cadangan menaikkan harga padi kepada RM1,800 per tan adalah langkah yang wajar bagi membantu pesawah memperoleh pendapatan lebih baik.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kewujudan kartel yang memonopoli bekalan beras perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar urusan pertanian diserahkan kepada kerajaan negeri yang lebih memahami situasi di kawasan masing-masing.

“Kerajaan harus lebih serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan mempertimbangkan cadangan yang telah dikemukakan.

“Subsidi pertanian juga perlu diteruskan sebagai penghargaan kepada para petani yang memastikan kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar kerajaan bersikap lebih prihatin dan adil dalam membuat keputusan berkaitan isu beras, demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan harus mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti seorang ibu bapa menjaga anak-anaknya. Janganlah terlalu berkira dengan rakyat,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!