Titah Adendum: Nak rayu apa lagi?

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sepatutnya tidak memfailkan notis usul memohon kebenaran bagi merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu Titah Adendum.

- Advertisement -

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana keputusan penghakiman majoriti 2-1 yang memihak kepada Najib di Mahkamah Rayuan bermakna persoalan fakta isu itu selesai.

“Dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, itu dalam undang-undangnya dipanggil question of fact (persoalan fakta). Persoalan fakta tidak ada banyak persoalan undang-undang. Apa persoalan faktanya?

“Yang pertama, adakah tiada Adendum. Itu undang-undangkah? Itu fakta. Ada atau tak ada. Yang kedua kalau ada Adendum ini, kuat kuasakanlah. Jadi apabila Mahkamah Rayuan dengan keputusan 2-1 memberi kemenangan kepada Datuk Seri Najib, bermakna persoalan fakta itu selesai.

“Bila persoalan fakta, you (kamu) nak rayu apa lagi? Bukan persoalan undang-undang. Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan, the highest court (mahkamah paling tinggi) adalah mahkamah yang akan mendengar isu-isu undang-undang…question of law (persoalan undang-undang). Ini tak ada question of law,” katanya yang juga Setiausaha Agung PAS dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan difailkan selepas kira-kira sebulan Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum mantan Perdana Menteri merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.

AGC melalui kenyataan itu memaklumkan notis usul difailkan bertujuan memastikan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!