Pemimpin munafik tidak akan cium bau syurga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan jelas mengenai tiga tanda orang munafik iaitu apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir janji dan apabila diberi amanah, dia mengkhianati kepercayaan. 

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, sebagai orang Islam, sifat ini mesti dijauhi kerana berbohong bukan perkara kecil.

Beliau menceritakan kisah seorang tokca yang duduk di pondok wakaf dan ditanya oleh sekumpulan orang yang mengejar pencuri lembu.

- Advertisement -

Tokca ceritanya hanya mengalihkan tempat duduknya dan berkata, ‘Setakat ambo (saya) duduk sini, tak nampak lagi,’ sebagai bukti betapa telitinya seseorang menjaga amanah kata-katanya. 

Menurutnya, keadaan hari ini menunjukkan pemimpin sendiri ada yang berbohong, malah lebih teruk daripada tokca itu.

“Jika seorang pemimpin bersifat demikian, maka dia telah menzahirkan tanda kemunafikan yang Nabi SAW sebut,” katanya dalam media sosial miliknya.

Mohd Amar turut menekankan bahawa mungkir janji juga adalah satu bentuk kemunafikan.

“Berapa ramai yang kita lihat hari ini menabur janji tetapi tidak menunaikannya? Janji dalam kempen pilihan raya, janji kepada rakyat, janji kepada orang bawahannya, tetapi akhirnya semua hanya tinggal kata-kata,” katanya. 

Beliau berkata, mengkhianati amanah adalah ciri munafik yang ketiga, dan apabila seseorang diberikan kepercayaan untuk menjaga harta atau memegang kuasa tetapi menyeleweng serta mengkhianati kepercayaan itu, dia telah menzahirkan sifat munafik.

“Kepimpinan bukan sekadar kuasa, tetapi amanah rakyat kepada pemimpin. Jika pemimpin mengkhianati amanah itu, dia tidak akan mencium bau syurga,” tegasnya. 

Beliau mengingatkan bahawa Nabi SAW menegaskan orang yang menipu rakyatnya tidak akan masuk syurga.

Mohd Amar berkata, tanggungjawab itu sangat berat, dan jika seseorang mati dalam keadaan menipu rakyatnya, tempatnya bukan di sisi Allah, tetapi dalam azab yang dahsyat. 

Menurutnya, terdapat satu hadis lain yang menambah lagi satu tanda munafik, iaitu apabila berbalah, dia melampaui batas dan berlaku zalim.

“Berdebat bukan lagi untuk mencari kebenaran, tetapi hanya mahu menang. Jenis ‘keras keng’, tidak mahu mengalah, tidak peduli walaupun hujahnya batil. Orang Melayu kata, lebih keras daripada rel kereta api,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa sifat itu merosakkan, terutama apabila seorang pemimpin tidak boleh ditegur dan tidak boleh dikritik.

“Kerajaan yang tidak membenarkan rakyat bersuara, yang menyekat itu dan ini, hanya akan membawa kehancuran. Sejarah sudah membuktikan bahawa kepimpinan yang zalim akhirnya akan runtuh,” katanya. 

Beliau turut mengaitkan hal itu dengan kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang diutuskan kepada Firaun.

Katanya, Firaun dan kaumnya menolak kebenaran kerana kesombongan mereka yang melihat Nabi Musa sebagai manusia biasa, malah kaumnya sendiri hanya hamba.

“Bagaimana mungkin seorang hamba boleh membawa kebenaran kepada seorang raja? Itulah mentaliti yang merosakkan. Mereka menolak seruan para nabi hanya kerana melihat nabi itu sebagai orang biasa,” katanya.

Menurutnya, Allah mengangkat siapa yang Dia kehendaki, seperti Nabi Daud yang bukan anak raja tetapi akhirnya menjadi raja.

Begitu juga tambahnya, nabi-nabi lain yang tidak memiliki kekayaan atau mewarisi takhta tetapi membawa sesuatu yang tidak dimiliki sesiapa, iaitu wahyu daripada Allah. 

Beliau mengingatkan bahawa Nabi Musa diberikan kitab Taurat sebagai petunjuk, tetapi mereka tetap mendustakannya.

“Allah tidak membiarkan kezaliman terus berleluasa, lalu mengirimkan sembilan mukjizat kepada Firaun sebagai peringatan.

“Air sungai menjadi merah seperti darah, kutu yang tidak hilang walaupun dicukur, katak yang memenuhi rumah dan dapur, lalat yang tidak terkira jumlahnya, semua itu adalah amaran daripada Allah. Tetapi tetap juga mereka tidak mahu beriman,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa kisah itu bukan sekadar sejarah tetapi pelajaran bagi umat hari ini.

“Jangan sombong dengan kuasa dan kedudukan. Jangan menolak kebenaran hanya kerana ia datang daripada orang biasa. Jangan mengulangi kesilapan kaum Firaun.

“Sebab apabila tiba masanya, Allah akan menunjukkan siapa yang benar dan siapa yang dusta,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!