KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin membidas pihak yang tidak bersetuju dengan garis panduan baharu bagi umat Islam menghadiri upacara bukan-Islam.
Jelas beliau, Islam meletakkan garis panduan dalam setiap tindakan umatnya untuk memastikan hidup yang teratur, selamat, dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
“Bukan sekadar peraturan semata-mata, tapi lebih kepada panduan supaya kita tak tersasar dari jalan yang betul. Macam lampu isyarat di jalan raya la, kalau kau ikut, selamat sampai ke destinasi.
“Tapi kalau kau langgar, boleh bahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Macam tu juga dalam hidup, bila Muslim ikut panduan Islam, insyaAllah hidup akan terjaga dan teratur,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Tambah Hanif, Islam menetapkan garis panduan bagi melindungi akidah dan iman penganutnya, di samping mengelakkan kacau-bilau dan kemudaratan.
“Islam jaga tauhid, jadi semua tindakan orang Islam mesti kena selari dengan kepercayaan ni. Supaya tak tersilap ikut perkara yang boleh merosakkan iman.
“Sebab itu Menteri (Hal Ehwal) Agama nak buat garis panduan, supaya setiap program yang melibatkan upacara bukan-Islam, orang Islam tak tersilap buat perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.
“Yang paling penting garis panduan ni hanya untuk orang Islam. Yang bukan-Islam teruskan dengan kepercayaan yang kalian anuti. Jangan bimbang. Yang Islam melenting jugak tu, mungkin ada wayar putus,” bidasnya.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan penyertaan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan-Islam.
Menurut beliau, garis panduan itu akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis itu tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Garis panduan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, antaranya Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menyatakan pendirian tidak bersetuju.
DAPSY mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaannya, serta mengekalkan dasar sedia ada atau ‘status quo’ berhubung perkara berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!