KUALA LUMPUR: Malaysia masih terlalu bergantung kepada pemindahan teknologi asing tanpa strategi yang jelas untuk membangunkan kapasiti tempatan secara mampan.
Dato’ Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, kebergantungan itu adalah satu kelemahan yang perlu segera ditangani.
“Pelaburan di dalam teknologi tempatan mampu membawa kepada pembangunan industri yang kukuh mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing ekonomi.
“Justeru itu, Hong Kong Teknologi hendaklah menjadi keutamaan kerajaan di dalam sektor strategik khususnya semikonduktor, teknologi hijau dan automotif untuk memastikan ekonomi negara lebih mampan di dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memperkukuh ekosistem inovasi dengan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkasakan kerjasama antara sektor akademia dan industri, serta memperkenalkan insentif yang lebih menarik bagi merangsang penerokaan teknologi tempatan.
Menurutnya, penerimaan teknologi tempatan turut dipengaruhi oleh sikap rakyat sendiri, termasuk mereka yang berada di posisi utama dalam membuat keputusan pembelian berskala besar, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.
Beliau turut membandingkan Malaysia dengan negara maju yang mempunyai kadar inovasi tinggi, di mana rakyat mereka lebih bangga menggunakan produk tempatan dan menganggap penggunaan teknologi asing sebagai sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah negara.
“Saya tertarik melihat negara-negara maju yang tinggi kadar inovasinya mempunyai rasa bangga dengan teknologi tempatan mereka ada rasa sense of belonging. Ada negara yang rakyatnya merasa malu untuk menggunakan teknologi asing sekiranya sudah pun ada teknologi tempatan yang bangunkan dan menganggapnya ia adalah sesuatu yang menjatuhkan maruah negara sekiranya menggunakan teknologi asing.
“Ini berbeza dengan psikologi rakyat di dalam negara ini. Mungkin ada sesuatu yang berkaitan dengan aspek patriotism yang kita masih gagal terapkan kepada rakyat sekarang yang memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem inovasi negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!